Seorang pemandu bas ditumbuk pada bahagian muka selepas memberi amaran kepada seorang penumpang supaya memakai topeng pelitup muka semasa berada di dalam bas dalam kejadian di Singapura baru-baru ini.
Menurut Motherhip, mangsa mengalami kecederaan di mukanya termasuk berkemungkinan patah hidung.
Syarikat bas berkenaan, SBS Transit Ltd turut berkongsi pada laman Facebook rasminya bahawa seorang pemandu bas (mangsa) telah diserang secara fizikal semasa bekerja.
“Dia memberitahu seorang penumpang untuk memakai topeng pelitup muka demi keselamatan penumpang lain di dalam bas tersebut tetapi dibalas dengan hayunan tumbukan,” ulas syarikat tersebut.
Difahamkan segalanya bermula apabila suspek menaiki bas di perhentian sepanjang Sims Avenue berhampiran Geylang Serai dan tidak memakai pelitup muka.

Kejadian berlaku apabila mangsa memberitahu suspek tersebut untuk memakai topeng pelitup muka dalam pengangkutan awam tetapi suruhannya ditolak.
Disebabkan hal itu, mangsa bertindak untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pusat operasi. Lantas, suspek berkenaan memutuskan untuk memakai topeng muka.
Namun begitu, apabila bas berhenti di persimpangan jalan, suspek menghampiri mangsa dan menumbuk mukanya sebelum keluar dari bas.
Bantuan daripada penumpang lain
Pergelutan yang berlaku di dalam bas itu turut disaksikan oleh beberapa penumpang lain dalam perjalanan yang sama.
Justeru suspek yang sudah menumbuk mangsa tadi berjaya ditahan oleh dua penumpang lain bas berkenaan sebelum polis tiba di lokasi kejadian untuk memberkasnya.
Sementara itu, jurucakap Polis Singapura berkata pihak mereka dimaklumkan mengenai kes dakwaan serangan di dalam sebuah bas pada 13 November, jam 7:04 malam.
Sehubungan itu, suspek yang berusia 65 tahun terbabit ditahan dan dibawa ke balai polis, manakala mangsa yang berusia 57 tahun dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Tindakan keganasan tidak dibenarkan
Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan, Melvin Yong turut mengesahkan perkara itu.
Yong yang juga Penolong Setiausaha Agung NTUC (National Transport Workers’ Union) berkata mangsa telah menerima rawatan perubatan di Hospital Besar Changi dan kini berehat di rumah.
“Dia mengalami kecederaan di muka termasuk patah tulang hidung yang disyaki berlaku selepas serangan itu,” kata Yong.
Yong yang melawat mangsa turut memberi jaminan bahawa kesatuan itu akan bekerjasama dengan SBS Transit untuk menguruskan perbelanjaan perubatan dan cuti untuknya.
“NTWU mengutuk sekeras-kerasnya sebarang keganasan dan jenayah terhadap pekerja pengangkutan awam kami.
Perbuatan sebegitu tidak boleh dibiarkan. Kesatuan kami akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan suspek tersebut berhadapan dengan tindakan undang-undang yang selayaknya,” tambah Yong.
Sementara itu SBS menegaskan pihaknya berasa marah akan tindakan suspek yang bertindak ganas terhadap pemandu bas mereka.
Tambah SBS lagi, kes seperti itu tidak akan dipandang ringan dan mereka mahu mendapatkan keadilan buat mangsa.
“Ini termasuk menyokong mana-mana kakitangan kami yang ingin memfailkan tindakan sivil termasuk melaksanakan rang undang-undang penuh,” kata SBS.
Sumber: Mothership