Siakap Keli
Kredit British Bake Off/Instagram

Rakyat Malaysia Juara Rancangan ‘The Great British Bake Off’ Musim Ke-13 Di UK

Rakyat Malaysia juara rancangan The Great British Bake Off Musim Ke-13

Seorang warganegara Malaysia di United Kingdom (UK) telah berjaya bergelar juara dalam rancangan siri popular The Great British Bake Off musim ke-13 baru-baru ini, lapor CNA.

Syabira Yusoff, 32 tahun yang merupakan penyelidik kardiovaskular yang berpangkalan di London itu berjaya mencipta nama sebagai juara pembuat roti sepanjang bertanding dalam rancangan tersebut.

Beliau berjaya menewaskan dua lagi finalis, Sandro Farmhouse dan Abdul Rehman Sharif ketika peringkat akhir pada 15 November baru-baru ini.

Difahamkan, tema minggu akhir adalah kelestarian dan ketiga-tiga mereka ditugaskan untuk mencipta set makanan perkelahan musim panas menggunakan bahan bermusim dari seluruh UK.

Kredit British Bake Off/Instagram

Justeru tema pada minggu itu ternyata menguji kreativiti peserta masing-masing, antaranya membakar kek mini, pai vegetarian, serta sandwic jejari yang dibuat daripada roti putih klasik mereka sendiri.

Syabira dikatakan telah mencipta resipi ‘pai tanpa babi’ (no porky pie) menggunakan bahan seperti terung dan cendawan; kacang lebar dengan pes ketumbar dan sandwic berbentuk hati salsa verde.

Selesai fasa pertama, peserta diuji pula dengan cabaran seterusnya iaitu pembuatan ‘bom puding musim panas’ dalam pusingan teknikal.

Mereka kemudiannya diberi cabaran untuk mereka bentuk sebuah arca Our Beautiful Planet yang boleh dimakan dalam pameran terakhir siri tersebut.

“Ini merupakan pencapaian terbesar dalam hidup saya. Semua kerja keras, percubaan dan kesilapan, semuanya berbaloi. Saya sangat berbangga,” kata Syabira berkenaan kemenangannya dalam siri tersebut.

The Great British Bake Off atau lebih dikenali sebagai Bake Off atau GBBO ialah siri realiti TV yang menguji peserta untuk menjadi seorang pembuat roti amatur terbaik di UK.

Setiap musim merangkumi episod selama 10 jam dan peserta perlu diuji dengan kemahiran membakar yang berbeza pada setiap minggu sebelum berjaya bergelar sebagai juara pembuat roti amatur.

Sumber: CNA News

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.