Dipercayai Berusia Lebih 20 Tahun, Lelaki Berjaya Tangkap Ikan Emas Gergasi Seberat 30kg
PERANCIS – Seorang pemancing British menjadi tular selepas berjaya menangkap salah seekor ikan emas terbesar di dunia di sebuah pusat perikanan di Perancis.
Ikan emas gergasi yang turut digelar ‘The Carrot’ itu dikatakan mempunyai berat yang mencecah 67 paun (30.3 kg)
Difahamkan, ikan tersebut merupakan kacukan spesies ikan mas dan ikan koi yang berwarna oren. Bukan itu sahaja, ikan itu dipercayai berusia lebih 20 tahun.
Ketika masih kecil, ikan tersebut telah dilepaskan ke dalam tasik di pusat perikanan yang dikendalikan oleh Brit Jason Cowler itu.
Walau bagaimanapun, setelah sekian lama tidak ‘memunculkan diri’, ikan itu akhirnya berjaya ditangkap oleh seorang pemancing yang dikenali sebagai Andy Hackett.

Hacket telah meluangkan masanya selama 25 minit untuk mengendalikan jorannya dan mendapatkan ikan tersebut.
Ia merupakan 30 paun lebih berat daripada seekor ikan emas yang dianggap terbesar di dunia, yang ditangkap oleh seorang lelaki pada tahun 2019.
Malah, saiz ikan tersebut adalah dua kali ganda saiz ikan koi oren seberat 30 paun yang ditemui di Perancis pada tahun 2010.
“Saya sememangnya tahu ‘The Carrot’ berada di sana namun saya tidak pernah terfikir bahawa saya akan menangkapnya.
“Apabila ia memakan umpan saya dan bergerak ke semua arah, saya mula menyedari bahawa ia pasti ikan yang sangat besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hackett sempat bergambar dengan hasil tangkapannya sebelum melepaskannya kembali dengan selamat ke dalam tasik.
Pemilik pusat perikanan itu turut menjelaskan bahawa mereka telah meletakkan ‘The Carrot’ kira-kira 20 tahun yang lalu sebagai ‘tarikan’ untuk pelanggannya.
Sejak itu, ikan emas tersebut mula membesar namun ia sangat jarang keluar dari permukaan tasik.
Sumber: Daily Mail