Siakap Keli
negara bakal berdepan politik tidak stabil
Gambar: FB Annuar Musa

Negara Bakal Berdepan Politik Tidak Stabil, Dakwa Annuar Musa

Tan Sri Annuar Musa mendakwa negara bakal berdepan politik tidak menentu dan tidak stabil ekoran gabungan parti yang bakal dibentuk untuk mendapatkan sokongan majoriti dalam membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan.

Beliau mendakwa demikian dalam satu hantaran Facebook, berhubung pembentukan kerajaan yang bakal berlaku hari ini (Isnin) dan menyaksikan seorang individu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri (PM) yang ke-10.

“Sekali lagi negara bakal menyaksikan tawar menawar politik mencari sokongan untuk berkuasa. Ini petanda awal negara bakal berdepan politik tidak menentu dan tidak stabil.

“Dalam situasi ini UMNO/BN sebagai gabungan menguasai hanya 30 kerusi perlu membuat pendirian secara bermaruah, berprinsip dan strategik,” kata Annuar.

Dakwa beliau, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) pastinya berusaha mengangkat pengerusi mereka untuk dinamakan sebagai PM pada kali ini.

Justeru Annuar berkata BN mempunyai pilihan ketiga yang lebih bermaruah, iaitu menerima isyarat rakyat mengenai parti itu perlu membuat perubahan dalaman.

“BN perlu reset dan reinvent dengan melakukan pembersihan dan penyusunan dalaman.

“Penolakan rakyat bukan kerana prestasi atau dasar yang ditolak, tetapi kerana penolakan rakyat terhadap individu yg dilihat cuba menguasai parti bagi tujuan peribadi,” ujar beliau menerusi kenyataan itu.

Beliau turut menjelaskan partinya ditolak adalah kerana gagal membuktikan keazaman menolak amalan rasuah dan salah guna kuasa serta percubaan mengekalkan pemimpin yang tidak berintegriti.

Dalam pada itu, Annuar menekankan BN perlu mendahulukan proses mengukuhkan semula parti dengan menerima peranan sebagai pembangkang berwibawa, membela rakyat tanpa perlu menyertai gabungan parti politik yang lain.

“Yang penting kesemua 30 ahli parlimen BN perlu bersama dalam setiap keputusan dan elakkan perpecahan di saat luka masih parah.

“Sesudah jatuh,tidak perlulah melutut dan menyembah. Himpun semula kekuatan,dan bangkit dengan bermaruah,” ujarnya.

Sumber: Annuar Musa via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana