PAS Nafi Akan Guna Kedudukan Dalam Kerajaan Untuk Tekan Mana-Mana Pihak – Takiyuddin
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menafikan dakwaan bahawa parti itu akan menggunakan kedudukan yang lebih tinggi dalam kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang menekan mana-mana pihak.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu turut termasuk di negeri-negeri Sarawak dan Sabah yang rakyatnya menjalani kehidupan harmoni mengikut adat resam dan agama masing-masing.
Tambahnya, PAS amat tegas dalam pematuhan prinsip Islam iaitu “tiada paksaan dalam beragama” yang bermakna tidak boleh dipaksa seseorang Bukan Islam untuk menganut Islam melainkan atas kerelaan dan kesefahaman mereka sendiri.
“PAS memberikan jaminan akan terus mengamalkan konsep musyawarah dan perbincangan dengan semua rakan-rakan kongsi dalam kerajaan meskipun mempunyai jumlah kerusi terbesar di kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan kelak.
“Perkara ini telah dibuktikan semasa penyertaan PAS dalam Kerajaan Persekutuan selama 31 bulan sebelum ini di mana PAS sentiasa akur kepada segala keputusan bersama (collective decision) sama ada di dalam Jemaah Kabinet mahupun di peringkat Kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.
Jelasnya lagi, parti itu juga sentiasa menghormati kepelbagaian dan kemajmukan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, adat resam dan agama serta mengakui hak dan kebebasan mereka dalam mengamalkan cara hidup masing-masing berdasarkan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
“PAS telah membuktikan perkara ini setelah menunjukkan keterbukaan termasuk menjamin hak rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pemerintahan yang diterajui oleh PAS di Kelantan lebih dari 30 tahun,” maklumnya lagi.
Tambahnya, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli PAS terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kelayakan termasuk sebilangan besarnya merupakan para profesional dalam pelbagai bidang.
Sehubungan itu, PAS dapat menunaikan tanggungjawab mereka secara profesional ketika diamanahkan kedudukan dan peranan di dalam kerajaan dan agensi.
Sumber: Twitter PAS Pusat