Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat mencadangkan parti Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung dalam membentuk kerajaan baharu.
“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi. BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab ‘check and balance’ kerajaan baru.
“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambahan lagi, beliau turut berkata BN akur dengan mandat rakyat yang tidak memilih parti tersebut dan mereka tidak mempunyai kuasa dalam perkara tersebut.
“Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN. Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan,” jelasnya lagi.
Namun, parti itu sedia menghulurkan bantuan sekiranya khidmat mereka diperlukan.
“Walaubagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
“Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT jua” katanya.
Sumber: Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan