Siakap Keli
Jangan Babitkan Kebencian, Provokasi Terhadap Institusi Raja, Perkauman Dan Agama
Kredit: BERNAMA

Jangan Bangkitkan Kebencian, Provokasi Terhadap Institusi Raja, Perkauman Dan Agama – MCMC

PUTRAJAYA,22 NOV (Bernama)- Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak membangkitkan sentimen kebencian dan provokasi terhadap institusi raja, perkauman dan agama.

Pengerusi Interim Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata orang ramai juga dinasihatkan supaya berhemah serta menjauhkan diri daripada memberikan pandangan berbaur kebencian menbabitkan kaum dan agama.

“Semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan perdana menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MCMC akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja (Royalty), Agama (Religion) dan Kaum (Race).

Sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Mohamad Salin berkata tindakan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia akan diambil terhadap mereka yang terlibat berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-udang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat.

Orang ramai boleh melaporkan insiden atau kandungan yang bersifat hasutan, provokasi atau yang menghina kepada MCMC melalui portal aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my/atau melalui maklumat dan berita palsu melalui pautan https://sebenarnya.my/salur/.

 

Sumber: BERNAMA

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.