Siakap Keli
laporan tentang paras air
Gambar: BERNAMA

Rizab Air Mencukupi Untuk Menghadapi Kemarau Jika Penggunaan Air Berhemah

Kebelakangan ini, banyak laporan tentang paras air di tasik dan empangan di luar negara yang semakin susut. Bukan itu sahaja, ada sungai yang semakin surut telah menampakkan bangunan-bangunan lama serta artifak yang dahulunya tenggelam.

Boleh dikatakan, musim kemarau yang berpanjangan serta perubahan iklim yang teruk merupakan antara punca paras empangan serta sungai menyusut.

Situasi ini pasti sedikit sebanyak membuatkan korang khuatir jika berlaku masalah air yang serius pada kemudian hari.

Kemarau di Malaysia, mungkinkah berlaku?

Biarpun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pernah mengeluarkan kenyataan Malaysia tidak dilanda fenomena kemarau buat masa ini, korang masih belum boleh menarik nafas lega.

Hal ini kerana negara kita berpotensi dilanda kemarau teruk antara 2025 sehingga 2035 berdasarkan kajian dijalankan Institut Pendidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

paras air
Gambar: BERNAMA

Hasil ramalan itu diperoleh setelah menggunakan kaedah big data yang mampu meramal perubahan iklim dan unjuran hujan dalam tempoh 90 hingga 100 tahun.

Menurut analisis bagi tahun 2010 sehingga tahun 2100 di Semenanjung Malaysia, penyelidik mendapati unjuran paling teruk direkodkan pada 2025 sehingga 2035 manakala negeri paling teruk dijangka terjejas adalah Terengganu.

Kepentingan sumber air dari empangan

Kalau korang nak tahu, setiap hari para pengguna yang menetap di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menggunakan air yang bersumber daripada empangan dan sungai di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Tambahan pula, empangan-empangan ini masih mampu menampung permintaan air terawat yang kian meningkat disebabkan fenomena perubahan iklim dan proses urbanisasi yang pesat.

Namun jika paras empangan-empangan ini menyusut atau berlaku masalah-masalah tertentu, ia akan menyusahkan kehidupan korang yang menetap di ketiga-tiga kawasan ini.

paras air

Apa akan terjadi jika paras empangan susut atau berlaku kemarau di negara kita?

Sebagai penyedia perkhidmatan air yang terbesar di Malaysia dengan jumlah pengguna seramai 8.4 juta orang, Air Selangor mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lengkap. Ianya adalah untuk memastikan pelepasan air dari empangan-empangan dalam keadaan terkawal.

Untuk maklumat korang, ada pelbagai pihak berkepentingan turut terlibat dengan SOP ini. Contohnya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab dalam aspek pemantauan dan koordinasi.

Menariknya untuk persediaan musim kemarau, SOP dan langkah-langkah mitigasi akan dilaksanakan untuk kelestarian sumber air empangan apabila empangan mencapai paras berjaga-jaga.

Hal ini termasuklah pelepasan air empangan secara terkawal menggunakan beberapa sumber air alternatif, pengagihan semula bekalan air, dan operasi pembenihan awan oleh LUAS. Malahan, catuan berjadual bekalan air juga akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Oleh itu, korang perlu ambil maklum bahawa kebarangkalian empangan untuk menjadi kering adalah tipis. Sebabnya, Air Selangor bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah menyediakan perancangan sumber air mentah hingga tahun 2060 dan pelan mitigasi perubahan iklim bagi melestarikan sumber bekalan air.

Jangan pula korang tak tahu sekiranya musim kemarau berlarutan, pelaksanaan langkah-langkah mitigasi yang disebutkan tadi mampu melanjutkan kemampuan tampung simpanan empangan-empangan. Uniknya, ia boleh bertahan sehingga beberapa bulan, bergantung kepada keadaan iklim dan kadar abstraksi.

Kita jaga air kita

Bagaimanapun, korang sebenarnya begitu mudah mendapatkan akses terhadap air bersih, sehinggakan ia menjadi salah satu nikmat yang jarang disyukuri.

Terdapat banyak kes-kes pembuangan sisa toksik atau pelupusan sampah haram telah menyebabkan masalah pencemaran air di Selangor.

Kalau korang lihat, masih ada orang yang tiada kesedaran untuk menjaga kebersihan sumber air.

Contoh terdekat, bila ada sebahagian masyarakat mengambil ringan pengurusan sampah sarap apabila bercuti di kawasan air terjun dan sungai. Tak kurang juga ada yang buang sampah di merata tempat.

Untuk maklumat korang, sampah sarap yang ada di daratan boleh mencemarkan sumber air, sekaligus menyebabkan gangguan bekalan air pada masa hadapan.

Misalnya, apabila sampah dibuang ke longkang, ia kemudiannya akan mengalir ke sungai. Seterusnya, sampah-sarap tersebut akan mencemarkan sungai dan mengalir pula ke laut. Akhir sekali, sampah tersebut akan menjadi makanan haiwan-haiwan laut dan merosakkan ekosistem.

Kebersihan sungai dan sumber air tanggungjawab bersama

Menjaga kebersihan sungai dan sumber air merupakan tanggungjawab kita bersama. Walaupun kesannya tidak terkena pada diri korang, tetapi ia tetap boleh berlaku pada zaman anak cucu kita nanti.

Kalau dulu, ada yang sempat melalui zaman di mana kita boleh menangkap ikan dalam anak sungai yang bersih. Tapi sekarang, anak-anak kita tidak sempat merasai keseronokan sama kerana pencemaran yang berlaku membuatkan ikan tidak mampu untuk hidup di sungai yang sama.

Jadi, marilah kita memainkan peranan menjaga kebersihan sungai dan sumber air yang lain untuk kesejahteraan ekosistem serta generasi pada masa akan datang.

Adib Mohd