Siakap Keli
ahmzah zahid mesti undur segera
Gambar: BERNAMA

Zahid Tiada Lagi Keabsahan Moral Selaku Presiden UMNO, Mesti Undur Segera – Khairy

Calon Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menegaskan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid tidak mempunyai keabsahan moral sebagai Presiden UMNO dan mesti berundur segera.

“Perundingan pembentukan sebuah Kerajaan Persekutuan mestilah tidak melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau mungkin mempunyai nama sebagai Presiden tetapi beliau tidak mempunyai kuasa moral lagi untuk membuat keputusan bagi pihak UMNO,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter.

Dalam pada itu, Khairy turut menjelaskan bahawa daripada tahun 2018 beliau telah melawan  Ahmad Zahid untuk jawatan Presiden UMNO, namun telah dibantah dan dinasihatkan perlu memberikannya ruang.

Ujarnya, beliau berbuat demikian kerana masih lagi merupakan ahli UMNO dan mempunyai hak untuk bersuara.

Terdahulu, media melaporkan Mesyuarat Tertinggi BN telah diadakan di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala lumpur.

Mesyuarat itu telah dihadiri oleh beberapa pimpinan BN, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M. Saravanan.

Turut kelihatan Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon dan Pengerusi BN Melaka dan tiga Ahli Majlis Tertinggi UMNO iaitu Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mesyuarat hari ini penting untuk menentukan pendirian BN sama ada akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) untuk melengkapkan jumlah kerusi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Sumber: Khairy Jamaluddin via Twitter

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana