Budak Perempuan 11 Tahun Maut Dipercayai Didera Bapa Tiri
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dipercayai maut akibat didera oleh bapa tirinya di Taman Sri Ramal, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya mendapat makluman berhubung kejadian itu selepas seorang pegawai dari Hospital Serdang menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang sekitar jam 12.39 awal pagi semalam.
Tambahnya, mangsa telah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma zon merah dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh doktor pakar hari ini mendapati punca kematian mangsa dipercayai daripada kesan hentakan benda tumpul pada bahagian kepala dan abdomen (perut) yang menyebabkan usus pecah.
“Selain itu, terdapat juga kesan-kesan cedera lebam di bahagian punggung, dada dan lengan tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertindak atas maklumat, pihak polis Cawangan D9 IPD Kajang berjaya menahan seorang lelaki berumur 53 tahun yang merupakan bapa tiri kepada mangsa sekitar jam 2.25 petang tadi di perkarangan Hospital Serdang.
Maklum Zaid, hasil pemeriksaan mendapati suspek mengaku memukul mangsa sebelum ini menggunakan tangan, kaki dan baldi di dalam tandas akibat berang dengan mangsa yang sering membuat masalah di rumah sewaktu ketiadaan ibu mangsa.
“Kes itu disiasat di bawah Sekysen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru supaya orang awam atau individu-individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus menelefon Pegawai Penyiasat kes ASP Ray Erindra Raj di talian 019-6616640 bagi membantu siasatan.
Sumber: Polis Daerah Kajang