Siakap Keli
manchester united bakal dijual
Gambar via PA

Glazers Sahkan Manchester United Dimiliki 17 Tahun Bakal Dijual

Glazers Sahkan Manchester United Dimiliki 17 Tahun Bakal Dijual

Pemilik Manchester United, keluarga Glazers dilapor mengesahkan bahawa kelab bola sepak gergasi Eropah yang dimiliki mereka sejak 17 tahun lalu itu bakal dijual secara rasmi.

Menurut laporan, Glazers telah memulakan proses mencari pelaburan luar, sama ada mahu menjualnya sebagai perkongsian atau pengambilalihan sepenuhnya, lapor Mirror.

Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama kelab berkenaan menamatkan kontrak penyerang sensasi mereka Cristiano Ronaldo.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Glazers kepada Bursa Saham New York telah menjelaskan laporan dan mengesahkan langkah seterusnya yang diambil oleh kelab itu dalam proses penjualan berkenaan.

“Manchester United, salah satu kelab sukan paling berjaya dan bersejarah di dunia, pada hari ini mengumumkan bahawa ahli Lembaga Pengarah Syarikat sedang memulakan proses untuk meneroka alternatif strategik bagi kelab itu.

“Proses ini dibuat bagi meningkatkan pertumbuhan masa depan kelab. Oleh itu, Lembaga Pengarah akan mempertimbangkan semua alternatif strategik, termasuk pelaburan baharu ke dalam kelab, penjualan atau transaksi lain yang melibatkan syarikat,” tulis kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, perkara itu termasuk juga dalam penilaian inisiatif bagi mengukuhkan kelab termasuk dalam pembangunan semula stadium dan infrastruktur serta pengembangan operasi komersial kelab pada skala global.

“Kekuatan Manchester United terletak pada semangat dan kesetiaan komuniti global kami yang terdiri daripada 1.1 bilion peminat dan pengikut. Oleh itu, kami ahli Lembaga Pengarah akan membenarkan penilaian menyeluruh terhadap alternatif strategik itu.

“Kami akan menilai semua pilihan untuk memastikan kami memberi khidmat terbaik kepada peminat Manchester United bagi memaksimumkan peluang pertumbuhan ketara yang tersedia untuk Kelab.

“Fokus utama kami adalah untuk kepentingan terbaik peminat kami, pemegang saham dan pelbagai pihak berkepentingan,” kata Pengerusi dan Pengarah Bersama Eksekutif, Avram Glazer dan Joel Glazer.

The Glazer telah memiliki United selama 17 tahun sejak pembelian awal pada Mei 2005 yang lalu.

Bagaimanapun peminat United terus-menerus membantah Glazers sepanjang pemilikan itu dan mempertikaikan pinjaman kelab yang berhutang sekitar RM 2.72 bilion, selain menelan belanja lebih RM5.4 bilion bagi kos perkhidmatan.

Taikun Amerika itu dikatakan sering mengambil dividen daripada United walaupun hanya melaburkan sedikit daripada wang mereka ke dalam kelab tersebut.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bantahan terhadap pemilikan Glazers semakin berleluasa dan terbaru apabila insiden pencerobohan penyokong ke Old Trafford yang memaksa penangguhan perlawanan menentang Liverpool pada Mei tahun lalu.

Ramai pakar telah mengecam Glazers, terutamanya Gary Neville yang mengkritik cara mereka membiarkan kelab itu di belakang pesaing dengan kekurangan pelaburan dalam stadium dan kemudahan latihan.

Faktor-faktor itu menjadi titik perbincangan dalam temu bual yang membawa kepada penyingkiran Ronaldo selepas dia mendakwa Glazers “tidak peduli” dengan kelab tersebut.

Sumber: Mirror UK

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.