Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Namun, apakah daya, ada kalanya anda terlupa atau makanan ini disimpan di bahagian dalam ruang peti ais sehingga sukar dicapai, atau tidak dipedulikan. Memandangkan setiap makanan mempunyai tarikh luput, ada kemungkinan bahan-bahan yang dibeli tidak sempat diguna dan rosak lebih awal.
Tetapi, anda sebenarnya boleh mengelakkan situasi diatas dengan mengamalkan sistem FIFO. Apa yang dimaksudkan dengan sistem FIFO ini? FIFO merupakan singkatan bagi First In, First Out.
Mengikut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan WP Labuan, First In, First Out adalah satu sistem untuk menyimpan dan menggunakan bahan makanan. Dalam sistem ini, bahan makanan yang paling awal dibeli atau disimpan (First In) adalah bahan makanan yang perlu diguna terlebih dahulu (First Out).

Bagi sesiapa yang pernah berkerja dalam sektor makanan dan minuman (Food and Beverages, F&B), mesti anda pernah melabel barangan di tempat kerja anda mengikut tarikh barangan itu sampai ke stor dan digunakan di pantri.
Ketua mesti meminta anda untuk menghabiskan barangan dengan label tarikh lebih awal sebelum membuka bungkusan yang lain. Sebenarnya, anda telah mengamalkan konsep FIFO tanpa anda sedar.
Hal ini disebabkan, kaedah ini turut memastikan bahan makanan dapat digunakan sebelum ia rosak atau luput. FIFO merupakan satu sistem yang sangat efektif dan seharusnya menjadi amalan bagi setiap rumah, lebih-lebih lagi jika anda pengusaha kedai.
Kaedah ini dapat mengurangkan kadar kerugian yang perlu ditanggung kerana bahan-bahan yang dibeli dapat digunakan sebelum ia rosak.

Selain itu, jika anda seorang peniaga, ia juga dapat mengelakkan pelanggan anda daripada mengalami keracunan makanan, yang mana akan menyebabkan pelanggan setia akan hilang kepercayaan terhadap premis anda.
Bagi sesiapa kurang memahami konsep ini, FIFO membantu anda untuk menyusun bahan mentah mengikut tarikh luput makanan.
Untuk memastikan sistem ini berjalan secara sistematik, semua bahan makanan haruslah ditanda dengan tarikh luput sama ada ia berada di dalam peti sejuk, peti sejuk beku dan stor penyimpanan makanan kering.
“Tapi, ikan bilis saya beli ni mana ada tulis tarikh luput. Dia tak akan basi sampai bila-bila ke?,”
Sekiranya bahan makanan tersebut tidak mempunyai tarikh luput, bungkusan makanan tersebut haruslah dilabel dengan tarikh pembelian bahan tersebut dan gunakan tarikh tersebut sebagai rujukan.
Dari segi susunan pula, bahan makanan baharu haruslah diletakkan di belakang bahan makanan yang lebih lama. Ini dalah untuk mengelakkan bahan makanan yang lama tidak digunakan dalam jangka masa panjang dan rosak dan tempat simpanan.
Melalui sistem ini juga, pengendali makanan lebih mudah mengambil makanan yang lebih lama dan akan menggunakan bahan makanan tersebut terlebih dahulu apabila diperlukan.
Ingat efisien kerana anda tidak perlu membelek setiap satu bungkusan untuk melihat label tarikh yang lebih awal.

Sekarang, anda sudah memahami apa itu konsep FIFO. Secara umumnya, sistem ini boleh disifatkan sebagai ‘game changer’ dalam pengurusan pantri anda.
Anda juga boleh mengutamakan konsep FIFO dalam perancangan menu untuk keluarga anda iaitu, utamakan pembikinan juadah yang memerlukan bahan-bahan yang sudah lama dibeli dalam simpanan anda untuk mengelakkan pembaziran.

Di samping mengamalkan konsep FIFO, anda juga perlu memeriksa keadaan bahan masakan sebelum memasak dengan menggunakan kaedah lihat, bau dan rasa. Ada beberapa kes, bahan masakan didapati rosak sebelum tarikh luput disebabkan masalah pada pembungkusan dan sebagainya.
Sumber: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam – SWCorp & Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan via Facebook