Siakap Keli
PN Nafi PAS & Bersatu Rebut Jawatan MB Perak
Gambar: Bernama

PN Nafi PAS & Bersatu Rebut Jawatan MB Perak

Parti Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan dakwaan bahawa berlaku konflik antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam perebutan jawatan Menteri Besar Perak, lapor Sinar Harian.

Setiausaha parti itu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata PAS dan Bersatu di negeri itu tiada sebarang masalah berhubung jawatan menteri besar berkenaan.

Tambahnya, musyawarah akan diadakan terlebih dahulu dalam kalangan komponen PN sebelum sebarang keputusan dibuat, lapor Sinar Harian.

“Malah pertemuan dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tempoh hari pun Tuanku menzahirkan ucapan tahniah atas kemenangan banyak kerusi kepada saya dan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

“Tuanku turut menasihati kami agar menjadi wakil rakyat yang menunjukkan sikap yang baik tanpa menimbulkan kekecohan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada hari ini.

Sementara itu, ZainolĀ  juga membidas dakwaan sekiranya menteri besar dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Bersatu akan keluar daripada gabungan PN.

Dakwanya lagi, perkara itu disifatkan sebagai langkah untuk menjatuhkan kredibiliti Bersatu dengan dakwaan yang buruk serta berniat jahat, lapor Sinar Harian.

“Saya perlu beri penjelasan bahawa tidak ada seorang pun ADUN Bersatu pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang didakwa iaitu jika menteri besar daripada Pas maka kami akan keluar dari PN, ini satu fitnah besar.

“Dalam perjumpaan di istana telah memaklumkan kepada tuanku kami hanya mempunyai 26 wakil rakyat sahaja dan kami reda, namun janganlah aibkan kami seperti ini,” jelasnya lagi.

Terdahulu, tular berhubung berlaku perebutan jawatan menteri besar Perak antara kedua-dua parti itu menerusi satu tangkap layar perbualan di aplikasi Whatsapp.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin menitahkan Razman dan Zainol Fadzi menyembah maklum berhubung PN tidak mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan pada Isnin.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

A wise man once said "If not us, then who? If not now, then when?"