Tewaskan Argentina, Arab Saudi Umum Cuti Peristiwa
ARAB SAUDI – Pemerintah Arab Saudi telah mengisytiharkan cuti peristiwa pada hari ini selepas pasukan bola sepak negara itu memberi kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia menewaskan Argentina semalam.
Kekalahan Argentina dalam perlawanan kumpulan pertama mereka telah mengejutkan peminat bola sepak di seluruh dunia apabila pasukan pilihan finalis tersebut tewas di tangan Arab Saudi.
Arab Saudi berjaya menumpaskan Argentina dengan kemenangan tipis 2-1 dan ia merupakan sejarah pertama dicipta oleh skuad The Green Falcons itu di Piala Dunia Qatar 2022 tahun ini.
Imbas kembali, Argentina memulakan rentak permainan dengan gol penalti pada awal separuh masa pertama hasil jaringan penyerang sensasi dunia, Lionel Messi.
Bagaimanapun kegembiraan Argentina tidak kekal lama apabila Arab Saudi berjaya membalas dua jaringan menerusi Saleh Al Shehri dan Salem Aldawsari pada separuh masa kedua.
Bukan itu sahaja, bahkan disebabkan keakraban Arab Saudi dan Qatar, penyokong bola sepak negara tersebut dilihat lebih ramai memenuhi ruang stadium berbanding penyokong Argentina.
Justeru bagi meraikan kejayaan bersejarah ke atas juara dunia dua kali itu, Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud telah mengisytiharkan cuti peristiwa di seluruh negara pada hari ini.
Difahamkan cuti peristiwa yang diberikan itu melibatkan semua kakitangan di sektor awam dan swasta serta seluruh pelajar di negara tersebut.
Mengikut jadual, Arab Saudi seterusnya akan menentang pasukan Poland pada 26 November ini pada jam 9 malam waktu tempatan.
Sumber: Sportbible