Siakap Keli
masa tambahan piala dunia
Gambar: AFP

Ada Sampai 14 Minit, FIFA Jelaskan Kenapa Masa Tambahan Piala Dunia Qatar Panjang Sangat

Piala Dunia 2022 Di Qatar Pengadil Banyak Memberi Masa Tambahan Untuk Perlawanan

Edisi Piala Dunia kali ini banyak menampilkan pembaharuan, antaranya berkenaan masa tambahan yang dilihat lebih lama daripada kebiasaan.

Bagi peminat bola sepak, tambahan masa selepas tamat 90 minit perlawanan biasanya sekitar 3 hingga 6 minit, yang bagi kebanyakkan orang sudah pun dianggap terlalu panjang. Namun berbeza dengan Piala Dunia, masa tambahan perlawanan dilihat berlarutan terlalu lama, sehingga ada yang melebihi 10 minit.

Misalnya dalam perlawanan England vs Iran pada Isnin, pengadil memberikan 15 minit masa tambahan pada separuh masa pertama berikutan kecederaan penjaga gol Iran. Anehnya, masa tambahan yang panjang sekali lagi diberikan iaitu 14 minit selepas tamat separuh masa kedua.

Bagi perlawana Belanda menentang Senegal pula, pengadil memberikan masa tambahan mendapat selama 11 minit selepas tamat 90 minit perlawanan. Keadaan yang sama berulang dalam perlawanan Amerika Syarikat bertemu Wales dimana masa tambahan yang diberikan adalah selama 11 minit. Sekali lagi, dalam peralwanan bersejarah Arab Saudi menentang Argentina, para pemaian perlu bermain tambahan 14 minit dari waktu sebenar perlawanan.

Situasi ini nyata menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat, kenapa masa tambahan terlalu panjang? FIFA ada jawapannya.

Menurut FIFA, mereka mahu memastikan setiap minit pertandingan mesti dimainkan di atas padang dan tidak hilang disebabkan kelewatan atau tindakan membuang masa.

“Piala Dunia adalah kejohanan paling penting di bumi,” kata Pierluigi Collina, pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA semasa sidang akhbar di Doha.

Beliau berkata 129 pegawai perlawanan yang bekerja dalam 64 perlawanan Piala Dunia telah diberikan mesej yang ringkas tentang pembaharuan yang mahu diperkenalkan kali ini.

“Kami mengesyorkan pengadil supaya tepat dalam mengira masa yang perlu ditambah pada penghujung setiap separuh masa untuk mengimbangi masa yang hilang akibat jenis situasi tertentu,” katanya lagi.

Antara situasi tertentu yang dimaksudkan adalah masa terbuang akibat rawatan kecederaan, pertukaran pemain, situasi semasa mengambil sepakan penalti, layanan kad dan juga keraian pemain ketika menjaringkan gol.

“Bayangkan dalam separuh masa ada dua, tiga gol dijaringkan. Jadi mudah kehilangan tiga, empat, lima minit, hanya untuk sambutan gol. Perkara ini perlu dipertimbangkan dan diberi gantian masa pada akhir perlawanan.”

Collina berkata mereka melakukan perkara yang sama di Piala Dunia Rusia empat tahun lalu. Tetapi masa pemberhentian ditambah di Qatar setakat ini sememangnya paling banyak.

Sumber: NPR

Shafikah