Siakap Keli
Gambar: Bernama

Ismail Sabri Ucap Tahniah Kepada Anwar, Doakan Kerajaan Baharu Dapat Teruskan Kestabilan Politik

Ismail Sabri Ucap Tahniah Kepada Anwar, Doakan Kerajaan Baharu Dapat Teruskan Kestabilan Politik

Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Ucapan tersebut dibuat dalam satu kenyataan yang dikongsikan di Facebook dan Twitter miliknya.

“Saya merafakkan setinggi penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang telah memperkenankan pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Setinggi tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan rasa syukurnya kepada seluruh Keluarga Malaysia dan penjawat awam terutama petugas barisan hadapan yang menyokongnya selama ini.

“Saya amat menghargai sokongan Keluarga Malaysia dalam membantu pentadbiran saya, mendepani cabaran dan memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan kesihatan, politik dan ekonomi,” katanya.

Tidak cuma itu, beliau turut mendoakan agar kerajaan baharu ini dapat meneruskan kestabilan politik serta mengekalkan kemampanan ekonomi negara.

Ciapan beliau itu telah meraih perhatian warganet dengan 3.1 ribu tanda suka dan 1,000 ulang kicau.

Sumber: Ismail Sabri via Twitter

Farah Nabilah