Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media berkata bahawa beliau tidak akan menerima gaji sebagai Perdana Menteri.
“Saya memilih untuk menolak gaji perdana menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai langkah awal bagi mengembalikan keyakinan rakyat dalam sistem kepimpinan untuk menerajui negara.
“Saya telah umumkan bahawa langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak terlihat menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin itu tanpa kira parti, tanpa kira agama, semuanya fikir gaji, kepentingan saham.
“Maka saya memilih untuk menolak gaji Perdana Menteri,” ujarnya dalam sidang sebentar tadi.
Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa negara yang membentuk kerajaan terkini dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan Nasional terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau dalam sidang media khas itu berkata bahawa kerajaan baharu itu merupakan harapan yang mampu mengangkat martabat dan membela nasib sebagai rakyat Malaysia.
“Saya tegaskan, kerajaan ini adalah Kerajaan Perpaduan Nasional. Kerajaan Perpaduan Nasional ini meletakkan penyertaan setakat ini sehingga atau sebelum mengangkat sumpah adalah tiga kelompok terbesar, Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.
Anwar mengesahkan PH sebagai kelompok terbesar dalam parlimen diikuti dengan BN dengan 30 kerusi dan GPS sebanyak 22 kerusi dalam membentuk kerajaan baharu berkenaan.
Sumber: Live Bernama TV