Siakap Keli
Gambar: Bernama

Banjir Sebabkan Kerugian Keseluruhan RM6.1 Bilion Tahun Lepas – DOSM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) — Perubahan iklim menyebabkan corak bencana alam berubah dan mengakibatkan banjir pada akhir tahun lepas dan awal tahun ini yang menyebabkan kerugian keseluruhan negara sebanyak RM6.1 bilion, kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau dalam kenyataan Kompendium Perangkaan Alam Sekitar 2022 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata kerugian itu bersamaan 0.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada harga nominal.

Menurut Mohd Uzir, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal separuh tahun pertama dan kemudian Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada separuh tahun kedua 2021 dengan kelonggaran pergerakan penduduk serta pembukaan semula aktiviti ekonomi telah memberi pelbagai kesan kepada keadaan alam sekitar negara tahun lepas seperti peningkatan kualiti udara secara keseluruhan.

“Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan status kualiti udara ‘baik’ dan ‘sederhana’ untuk 2021. Bacaan IPU menunjukkan penurunan tahap pencemar udara terutama di bandar-bandar utama di seluruh negara disebabkan pelepasan bahan pencemar udara yang lebih rendah daripada asap kenderaan bermotor, pelepasan cerobong industri dan aktiviti pembakaran terbuka,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata peningkatan kes COVID-19 turut meningkatkan penggunaan kelengkapan pelindung diri (PPE) dan alat pengujian COVID-19 selain pembukaan kemudahan kesihatan baharu, pusat kuarantin dan vaksinasi memberi impak secara langsung ke atas pengurusan sisa klinikal.

“Kuantiti sisa klinikal meningkat 43.9 peratus pada 2021 kepada 57,400 metrik tan berbanding 39,900 metrik tan pada 2020,” katanya.

Beliau berkata tiga negeri merekodkan jumlah sisa klinikal terbesar iaitu Selangor sebanyak 13,000 metrik tan, Sarawak 8,300 metrik tan dan Kuala Lumpur 5,900 metrik tan.

Katanya kadar kes kemalangan di jalan raya di Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 11.5 peratus iaitu penurunan sebanyak 47,951 berbanding 2020 manakala jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya juga menurun sebanyak 95 kepada 4,539 kematian pada 2021 berbanding 4,634 kematian pada tahun sebelumnya.

Mohd Uzir berkata pada DOSM sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 hingga 31 Dis ini dan amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada DOSM bagi menjayakan soal selidik itu.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal