Siakap Keli
Neymar disahkan akan terus bermain di piala dunia
Gambar: NELSON ALMEIDA/AFP & Gambar: Giuseppe CACACE/AFP

“Jangan Risau,” Alami Kecederaan Buku Lali, Neymar Disahkan Akan Terus Bermain Di Piala Dunia 

“Jangan Risau,” Alami Kecederaan Buku Lali, Neymar Disahkan Akan Terus Bermain Di Piala Dunia 

Pemain bola sepak Brazil, Neymar mengalami kecederaan di buku lali ketika pasukan Brazil yang berada dalam Kumpulan G Piala Dunia Qatar 2022 melakar kemenangan 2-0 ke atas Serbia di Stadium Ikonik Lusail, malam tadi.

Bintang Brazil tersebut keluar dalam keadaan terhincut-hincut dan bengkak yang teruk di bahagian buku lalinya ketika perlawanan berbaki 11 minit, lapor The Guardian.

Bagaimanapun, jurulatih skuad kebangsaan Brazil, Tite, menegaskan bahawa Neymar akan bermain semula dalam Piala Dunia meskipun dia mengalami kecederaan.

Gambar: Giuseppe CACACE/AFP

Neymar kelihatan menangis ketika duduk di bangku simpanan sebelum kembali ke bilik persalinan.

Dia dipercayai telah dikasari sebanyak sembilan kali serta menerima banyak tolakan dalam permainan menentang Serbia berkenaan.

Sementara itu, Tite gembira apabila Richarlison berjaya menjaringkan dua gol bagi membolehkan Brazil meraih kemenangan ke atas Serbia.

The Guardian melaporkan, Neymar akan dirawat dalam tempoh 24 jam hingga 48 jam dan yakin kecederaannya itu tidak serius.

“Jangan risau, Neymar akan bermain di Piala Dunia, dia akan terus bermain,” kata Tite.

Gambar: NELSON ALMEIDA/AFP

Dalam pada itu, doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar mengesahkan bahawa kaki Neymar terseliuh selepas dikasari oleh pemain Serbia, Nikola Milenkovic.

“Kami memulakan rawatan segera di bangku simpanan. Kini, dia masih meneruskan fisio, tetapi kita perlu menunggu 24 hingga 48 jam untuk penilaian yang lebih baik,” kata Dr. Rodrigo.

Menurutnya, Neymar menahan sakit sepanjang permainan, namun memilih untuk kekal di padang untuk membantu pasukannya meraih kemenangan.

Sebelum ini, Neymar mengalami keretakan serius pada tulang belakang Piala Dunia Brazil dan terlepas aksi separuh akhir Piala Dunia Brazil 2014.

Sumber: The Guardian

Noorliyana Ishak