Siakap Keli
Kredit BERNAMA

PAS Akur Keputusan YDP Agong, Akan Bincang Tawaran Sertai Kerajaan Perpaduan Bersama Komponen PN – Takiyuddin

PAS Akur Keputusan YDP Agong, Akan Bincang Tawaran Sertai Kerajaan Perpaduan Bersama Komponen PN – Takiyuddin

Setiausaha Agung Parti Se-Malaysia (PAS), Takiyuddin Hassan pada hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa parti itu akur dan terima keputusan yang dibuat oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong berkenaan pemilihan kepimpinan negara pasca PRU15.

Menerusi kenyataan itu lagi, PAS menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan tugas baginda.

“PAS turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

“PAS yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri dan rakyat jelata,” kata Takiyuddin Hassan, Setiausahan Agung PAS.

Kata beliau lagi, berkenaan tawaran Perdana Menteri kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, PAS dalam masa terdekat ini akan membincangkan tawaran tersebut bersama komponen PN di samping meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi berkenaan tawaran tersebut.

Terdahulu dalam sidang media yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam tadi, beliau telah menjemput dan menawarkan kepada Perikatan Nasional untuk menyertai Kerajaan Perpaduan dalam meneraju negara Malaysia.

Selain itu, Anwar Ibrahim juga turut mengumumkan bahawa tarikh mula sidang parlimen pada 19 Disember dan usul undi percaya kepada PM juga turut akan dibentangkan pada hari yang sama.

Sumber: Parti Islam Se-Malaysia

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka