Siakap Keli
BN Akan Sokong Usul Undi Percaya Agar Keabsahan PM Dimuktamad
Gambar: Bernama

BN Akan Sokong Usul Undi Percaya Agar Keabsahan PM Dimuktamad – Zahid

BN Akan Sokong Usul Undi Percaya Agar Keabsahan PM Dimuktamad – Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa parti itu akan menyokong undi percaya agar keabsahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimuktamadkan selepas mendapat pelbagai pertikaian.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook rasmi bahawa BN akan mendukung Perlembagaan Negara dan Menjunjung Titah Yang Di-Pertuan Agong.

“Pertimbangan ini berlunaskan perlembagaan negara berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.

“Pertama, seseorang itu hendaklah ahli Dewan Rakyat, maksudnya seseorang itu memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU).

“Kedua, seseorang itu hendaklah pada hemat Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” maklumnya.

Sehubungan itu, Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membuat keputusan dalam memilih seseorang yang mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Tambahnya, terdapat pelbagai proses yang perlu dijalani secara ketat bagi memenuhi kriteria tersebut termasuk memanggil menghadap ketua-ketua blok parti.

“BN mula-mula membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya. Begitu juga GPS dan GRS.

“Hal ini berlaku selepas Yang Dipertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan yang bukan diterajui oleh Perikatan Nasional bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur dapat dibentuk.

“Maka BN menjunjung titah tersebut dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti.” katanya lagi.

Maklum pengerusi BN itu, parti itu tidak mahu berpolitik sepanjang masa sebaliknya ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat yang perlu ditangani bersama.

Tambahan lagi, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Selepas persetujuan itu, proses-proses berkaitan telah dilaksanakan oleh pihak Istana Negara termasuk perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berhubung pembentukan Kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 diadakan sebelum keputusan dibuat.

“Apabila pelantikan Perdana Menteri ke-10 sudah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, maka semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan tersebut.

“Tidak perlu lagi pihak mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara. Janganlah umpama rumah siap, pahat berbunyi.

“Marilah kita sama-sama menjunjung titah dan menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara.

“Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan.

“Alhamdulillah kemelut pelantikan Perdana Menteri telah diselesaikan secara arif lagi bijaksana oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan telus dan berwibawa,” jelasnya.

Tegasnya lagi, walaupun ada pihak yang mempertikai perlantikan PM baharu itu, namun ia adalah proses demokrasi yang perlu diteruskan dan parti itu akan terus menyokong penuh sebagai tanda menjunjung titah YDPA dalam pembentukan kerajaan baharu.

Sumber: Zahid Hamidi

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?