Siakap Keli
warga asing bendera terbalik
Gambar: Sinar Harian

Warga Asing Pasang, Biarkan Bendera Malaysia Terbalik Ditahan Polis

Gara-gara enggan membetulkan semula bendera Malaysia yang dipasang secara terbalik di luar kediamannya, seorang lelaki warga Banglasdesh di Klang ditahan polis.

Tidak cukup dipasang secara terbalik, difahamkan suspek terbabit turut bertindak tidak mengendahkan nasihat penduduk yang memintanya untuk membetulkan semula posisi bendera berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu, perkara itu dilaporkan oleh seorang pengerusi penduduk kepada pihaknya kira-kira-12.40 tengah hari pada Sabtu semalam.

“Kejadian itu tular menerusi satu group WhatsApp salah sebuah komuniti penduduk di Klang di mana salah seorang penghuni sebuah pangsapuri telah memasang bendera Malaysia secara terbalik.

“Pengerusi komuniti penduduk terbabit telah menasihati lelaki tersebut tetapi suspek melawan, membuat provokasi dan enggan membetulkan bendera itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar: FB Polis Daerah Klang Utara

Malah apa yang lebih menyedihkan, Jalur Gemilang tersebut kelihatan dipasang secara terbalik di bawah bendera Argentina tanpa diketahui sebabnya.

Sehubungan itu sekumpulan anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara menahan suspek yang berusia lingkungan 30 tahun itu dan difahamkan dia telah menetap di Malaysia sejak setahun yang lalu.

Difahamkan suspek bekerja sebagai seorang operator di sebuah kilang di Klang Utara dan mempunyai dokumen perjalanan yang sah, namun tindakannya membiarkan bendera itu dipasang secara terbalik masih tidak dapat diketahui.

“Suspek direman tiga hari di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Sumber: FB Polis Daerah Klang Utara

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.