Siakap Keli
warga asing maut di pusat hiburan
Gambar: PDRM via Bernama

Warga Asing Maut Bergaduh Di Pusat Hiburan

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) — Seorang lelaki warga asing terbunuh dipercayai selepas terlibat dalam satu pergaduhan membabitkan tujuh lagi warga asing termasuk dua wanita, di sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima maklumat pada 5.35 pagi tadi mengenai tiga lelaki warga asing berbangsa Afrika yang cedera disyaki akibat pergaduhan dan berada di wad kecemasan sebuah hospital swasta.

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa dan rakannya dipercayai bergaduh dengan sekumpulan lelaki warga asing yang (juga) berketurunan Afrika.

“Mangsa yang berumur 32 tahun telah meninggal dunia ketika diberikan rawatan di hospital kerana mengalami kecederaan parah iaitu kesan luka akibat tetakan di belakang leher,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ashari berkata kesemua suspek berumur lingkungan 26 hingga 40 tahun itu telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Bernama

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana