Siakap Keli
warga asing roadblock
Kredit: Friends of Trafik IPD Shah Alam

Warga Asing ‘Lolos’ Roadblock, Langgar Palang Tol

Seorang lelaki warga asing bertindak berani ‘meloloskan’ diri dari sekatan jalan raya (roadblock) dalam satu kejadian di susur Kilometer (KM) 31 Lebuh Raya KESAS, Shah Alam semalam.

Tidak cukup mengingkari arahan polis untuk berhenti di sekatan berkenaan, suspek juga turut bertindak melanggar palang tol menggunakan kereta yang dipandunya ketika kejadian.

Memetik kenyataan Friends of Trafik IPD Shah Alam, suspek warga asing terbabit bertindak sedemikian semasa pihak polis menjalankan Sekatan Jalan Raya Op Pelbagai Kesalahan di lokasi kejadian.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah mengarahkan sebuah kereta berhenti di sebelah kiri jalan bagi tujuan pemeriksaan.

“Namun begitu kereta tersebut (sebaliknya) tidak berhenti dan memecut laju ke arah anggota yang bertugas.

“Anggota BSPT telah mengejar kereta terbabit dan berjaya menangkap seorang lelaki warga asing setelah kereta yang dipandu mengalami kerosakan setelah melanggar palang tol.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan dan kenderaan tidak menjumpai barang salah dan semakan kompol kenderaan terbabit tiada dalam senarai rekod hilang,” maklum kenyataan itu hari ini.

Difahamkan, suspek warga asing terbabit ditahan dan kenderaan yang digunakan itu turut dirampas bagi tujuan siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sebarang kegiatan atau kejadian jenayah ke Bilik Gerakan Polis IPD Shah Alam di talian 03-5520 2222.

Orang ramai juga boleh melaporkan maklumat sedemikian kepada laman Facebook Friends of Trafik IPD Shah Alam melalui aplikasi Messengger.

Gambar: Friends of Trafik IPD Shah Alam

Kes jenayah lain berkaitan kenderaan & jalan raya libatkan warga asing

Keratan laporan terdahulu

Kes-kes jenayah lain berkaitan kenderaan dan jalan raya melibatkan warga asing bukan perkara baharu, malah ia juga pernah terjadi dalam satu kes di ibu negara kira-kira dua minggu yang lalu.

Memetik kembali laporan terdahulu, seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemui maut di dalam but sebuah kereta Perodua Bezza dalam kejadian sekitar jam 6.40 pagi pada Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika itu berkata, pada awalnya pihaknya menerima maklumat mengenai kereta tersebut yang berada di Jalan Tugu di ibu negara.

“Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun di dalam but kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan ketika itu.

Sehubungan itu, sepasukan polis daripada Unit Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menahan lima individu pada sekitar jam 12:45 tengah hari.

Difahamkan, kesemua lima individu terbabit merupakan warga asing yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan antara 20 hingga 24 tahun.

“Hasil soal siasat ke atas tangkapan berkenaan, lebih kurang jam 4 petang, seramai dua lagi individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan bukan warganegara berusia 26 dan 22 tahun telah berjaya ditangkap.

“Kesemua tangkapan akan dipohon reman pada 30 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

BACA JUGA: Lelaki Dipercayai Pemandu E-Hailing Ditemui Maut Dalam But Kereta, Tujuh Warga Asing Ditahan

Sumber: Friends of Trafik IPD Shah Alam

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana