Siakap Keli
pemandu dikelar penumpang perempuan
Gambar via Bernama

Pemandu E-Hailing Nyaris Maut Dikelar Penumpang Perempuan

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu e-hailing nyaris maut dikelar di leher oleh penumpang iaitu seorang remaja perempuan.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.55 pagi di Jalan Kovil Hilir, Jalan Ipoh pada 13 April lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Assisten Komisioner Beh Eng Lai, mangsa yang berusia 63 tahun mengambil suspek, seorang remaja warga tempatan berumur 16 tahun di Sagil, Tangkak dengan menggunakan sebuah aplikasi e-hailing.

“Setelah sampai ke destinasi, mangsa telah memberitahu suspek jumlah tambang yang dipersetujui untuk dibayar, iaitu sebanyak RM400.

“Namun suspek enggan membayar kerana tidak mempunyai wang dan mangsa membuat keputusan untuk menghantar suspek ke balai polis bagi tindakan selanjutnya,” kata Beh dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, kerana terlalu takut, suspek bertindak mengelar leher mangsa dengan sebilah pisau lipat dan melarikan diri.

Pisau yang digunakan untuk mencederakan mangsa setelah itu ditinggalkan suspek di dalam kereta mangsa.

“Mangsa kemudiannya memandu menuju Balai Polis Sentul untuk meminta bantuan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan,” ujar Beh.

Suspek walaubagaimanapun berjaya ditangkap pihak polis kira-kira jam 4.55 petang tadi di sebuah premis perniagaan di Jinjang.

Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek. Suspek dikatakan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah sebelum ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun; atau denda; atau sebat atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sumber: Polis KL

Eyla Azri