GEORGE TOWN, 30 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu bulan gaji kepada penjawat awam di negeri itu, yang akan dibayar pada Disember 2026.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika membentangkan Belanjawan 2027 negeri, berkata pemberian imbuhan secara sekali beri sebanyak RM300 juga diberikan kepada beberapa kumpulan penerima yang terlibat dalam sektor pendidikan agama dan pendidikan persendirian negeri.
Ia melibatkan penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), petugas Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan petugas sekolah persendirian Cina negeri.
“BKK dan bayaran secara sekali beri ini bakal melibatkan 7,292 penerima dengan implikasi kewangan sebanyak RM16.207 juta. Sepanjang 2026, komitmen penjawat awam Pulau Pinang terus membuahkan pengiktirafan membanggakan pada peringkat nasional,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Sementara itu, beliau mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan Bantuan Insentif Khas E-Hailing sebanyak RM600 secara sekali beri kepada pemandu yang layak pada tahun depan dengan siling peruntukan RM9 juta, dalam menyantuni kebajikan penggerak sektor pengangkutan awam.
Chow berkata peruntukan sebanyak RM1.2 juta juga disediakan bagi meneruskan bantuan insentif kepada pemandu teksi dan pengusaha bas sekolah pada 2027.
Di samping mengekalkan komitmen peruntukan RM58 juta bagi Program i-Sejahtera dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan golongan rentan di Pulau Pinang pada 2027, beliau berkata kerajaan negeri akan memperluas program berkenaan melalui pengenalan Program Mempelai Emas.
Beliau berkata ia sebagai satu bentuk penghargaan kepada pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga di Pulau Pinang dengan pasangan yang memenuhi syarat kelayakan bakal menerima sumbangan RM500 secara sekali beri.
Selain itu, Chow berkata Pulau Pinang juga memperkenalkan Tabung Pembangunan Sosial Negeri Pulau Pinang buat julung kali mulai 2027 dengan peruntukan RM350,000 bagi menyokong pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan sosial.
“Ia khususnya bagi membantu golongan yang memerlukan, menangani kemiskinan dan ketaksamaan sosial serta memperkasa golongan rentan agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negeri,” katanya.
Chow membentangkan Belanjawan 2027 berjumlah RM1.074 bilion yang meliputi RM1.042 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan RM280.17 juta untuk perbelanjaan pembangunan.
Beliau berkata anggaran hasil negeri bagi 2027 pula berjumlah RM1.069 bilion, sekali gus menyaksikan belanjawan itu mencatatkan anggaran defisit RM5.62 juta, terendah dalam sejarah belanjawan negeri berbanding unjuran defisit RM19.92 juta pada 2026.



