Ukraine mendakwa telah menahan seorang warga Indonesia yang menyertai tentera Rusia, sekali gus menjadikannya rakyat pertama negara itu yang ditawan dalam perang berkenaan.
Lelaki berusia 49 tahun dari Pulau Jawa itu dibawa ke wilayah Zaporizhzhia, Ukraine, untuk menyertai operasi serangan tentera Rusia.
Bagaimanapun, dia berjaya melarikan diri ke kawasan yang dikuasai tentera Ukraine selepas kumpulannya diserang dron sebelum akhirnya ditahan tentera negara itu.
Dalam pada itu, Ukraine turut melaporkan peningkatan jumlah warga Indonesia yang direkrut untuk menyertai tentera Rusia.
Menurut projek Ukraine, I Want to Live, seramai 283 warga Indonesia direkrut dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tidak lebih 10 orang sepanjang tiga tahun sebelumnya.
Kedutaan Rusia di Jakarta bagaimanapun belum memberikan maklum balas berhubung dakwaan pengambilan warga Indonesia untuk menyertai tenteranya.
Ukraine Dakwa Tahan Warga Indonesia Pertama

Rusia sebelum ini turut dilaporkan merekrut warga asing dari beberapa negara bagi membantu tenteranya meneruskan perang yang bermula selepas pencerobohan Ukraine pada Februari 2022.
Pada Februari lalu, perkhidmatan risikan Kenya melaporkan lebih 1,000 rakyat negara itu telah dipujuk untuk menyertai tentera Rusia.
Selain Kenya, warga Uganda, Afrika Selatan dan beberapa negara lain turut dilaporkan dibawa ke medan perang.
Susulan laporan mengenai kematian seorang warga Indonesia yang berkhidmat dalam tentera Rusia pada Oktober lalu, kerajaan Indonesia meminta Moscow memastikan tiada lagi rakyatnya direkrut untuk menyertai angkatan tentera negara itu.
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang berkata, kerajaan sudah meminta Rusia mengambil langkah bagi menghentikan pengambilan rakyat Indonesia melalui sebarang saluran.
“Kerajaan Indonesia meminta kerajaan Rusia mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan tiada rakyat Indonesia direkrut menyertai tentera Rusia atau menjalankan tugas berkaitan ketenteraan di negara itu melalui mana-mana saluran,” katanya.
Menurut Yvonne, Indonesia turut bimbang kaedah pengambilan berkenaan mungkin mempunyai unsur pemerdagangan manusia.
Beberapa hari kemudian, polis Indonesia mengumumkan pihaknya berjaya mengenal pasti sindiket pemerdagangan manusia yang menyasarkan rakyat negara itu melalui media sosial dan aplikasi pesanan.
Sindiket itu menawarkan pekerjaan bergaji lumayan dalam bidang logistik, keselamatan sempadan dan pembinaan kemudahan pertahanan.
Namun, selepas tiba di Rusia, mangsa didakwa diminta menandatangani kontrak sebagai tentera upahan, sebelum sebahagian daripada mereka dihantar ke kawasan konflik.
Untuk rekod, inisiatif I Want to Live ditubuhkan kerajaan Ukraine pada September 2022 bagi membolehkan anggota tentera Rusia dan warga asing yang direkrut negara itu menyerah diri dengan selamat.
Inisiatif berkenaan diwujudkan oleh Ibu Pejabat Penyelarasan Tawanan Perang dengan sokongan Kementerian Pertahanan serta perisikan pertahanan Ukraine (HUR).

