Siakap Keli
pemandu e-hailing ditemui maut
Gambar: Kosmo!

Lelaki Dipercayai Pemandu E-Hailing Ditemui Maut Dalam But Kereta, Tujuh Warga Asing Ditahan

Seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemui maut di dalam but sebuah kereta Perodua Bezza dalam kejadian sekitar jam 6.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pada awalnya pihaknya menerima maklumat mengenai kereta tersebut yang berada di Jalan Tugu di ibu negara.

“Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun di dalam bonet kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Sehubungan itu, sepasukan polis daripada Unit Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur berjaya menahan lima individu pada sekitar jam 12:45 tengah hari.

Difahamkan, kesemua lima individu terbabit merupakan warga asing yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan antara 20 hingga 24 tahun.

“Hasil soal siasat ke atas tangkapan berkenaan, lebih kurang jam 4 petang, seramai dua lagi individu terdiri daripada seorang lelaki dan seorang perempuan bukan warganegara berusia 26 dan 22 tahun telah berjaya ditangkap.

“Kesemua tangkapan akan dipohon reman pada 30 Ogos (hari ini) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Bagaimanapun menurut Noor Dellhan, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Perodua Bezza dipandu dalam keadaan mencurigakan

Sebelum itu, Kosmo! melaporkan bahawa pada awalnya dua unit kereta peronda polis (MPV) mengesan Perodua Bezza berkenaan di Bulatan Hishammuddin berdekatan Bank Negara sekitar jam 6.30 pagi semalam.

Bagaimanapun, unit peronda MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu mendapati kenderaan berkenaan dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

Ekoran itu, pihak polis mengejar Bezza tersebut sehingga ke lokasi berhampiran Bangunan Majlis Perubatan Malaysia, Jalan Tugu sebelum pemandunya memberhentikan kereta di bahu jalan.

Namun ketika itu, empat penumpang termasuk seorang wanita cuba meloloskan diri dengan menuju ke landasan Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang terletak tidak jauh dari situ.

Difahamkan, ‘peninggalan’ kereta tersebut membawa kepada penemuan seorang lelaki dipercayai pemandu e-hailing yang ditemui mati di dalam but dengan keadaan kaki diikat kain, selain cedera pada muka dan telinga.

Sumber: Polis Daerah Dang Wangi, Kosmo!

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?