Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki dipercayai cuba melarikan diri selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Banjaran Utama, Kempas, Johor.
Rakaman berdurasi satu minit 34 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan keluar dari sebuah Toyota Harrier yang berada dalam keadaan terjungkit sedikit, dengan salah satu tayarnya memasuki longkang di bahu jalan.
Dalam video sama, seorang wanita dilihat bertanyakan asal usul lelaki tersebut selain ingin mengetahui sama ada dia mempunyai lesen memandu.
Lelaki berkenaan kemudian mendakwa dirinya berasal dari India dan mempunyai lesen memandu serta kad pengenalan.
Turut tular beberapa keping foto yang memaparkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai milik lelaki berkenaan.
Video tersebut kemudian mendapat perhatian pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara kira kira pukul 9.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira kira pukul 10.46 malam tadi dan melibatkan sebuah Toyota Harrier serta Honda Civic.
Menurutnya, Toyota Harrier yang dipandu lelaki warga asing berusia 32 tahun itu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika melalui Jalan Banjaran Utama, Kempas.
“Toyota Harrier itu kemudian bergesel dengan sebuah Honda Civic yang dipandu lelaki warga tempatan berusia 26 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, Toyota Harrier terbabas ke bahagian kiri jalan.
Bagaimanapun, kedua dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan berkenaan.
Katanya, pemandu warga asing itu telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Pesalah juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

