Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) mencatat satu lagi pencapaian penting dalam bidang perubatan apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan pasangan kedua bayi kembar Siam lelaki jenis pygopagus di negeri itu pada 17 September lalu.
Kejayaan tersebut menyusul selepas pasangan pertama berjaya dipisahkan pada 2 Julai lalu, sekali gus menyaksikan dua pembedahan kompleks berkenaan dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, pihak HWKKS memaklumkan pembedahan berisiko tinggi itu dilakukan ketika bayi berkenaan berusia 40 hari.
Menurut hospital itu, keputusan untuk mempercepatkan pembedahan dibuat selepas salah seorang bayi memerlukan sokongan pernafasan yang lebih tinggi berikutan tekanan fisiologi terhadap sistem organ yang dikongsi bersama.
Prosedur berkenaan berjaya dilaksanakan hasil kerjasama pasukan pakar multidisiplin HWKKS dengan Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur dan Hospital Umum Sarawak (HUS).
Pembedahan rumit itu melibatkan pemisahan sistem usus bawah dan saluran kencing, pembinaan semula lantai pelvik, pembentukan saluran dubur baharu atau neoanus serta pemulihan laluan kencing bagi kedua-dua bayi.
Dalam pada itu, pasukan neurosurgeri pediatrik turut menjalankan pemetaan saraf dan proses pemisahan tisu secara teliti di bahagian sakrum bagi melindungi fungsi saraf tunjang serta keupayaan pergerakan kaki kedua-dua bayi.
Pihak hospital berkata, pasukan anestesiologi juga memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan hemodinamik kedua-dua pesakit sepanjang prosedur pembedahan berlangsung.
Terdahulu, pasangan kembar pramatang itu dilahirkan dengan selamat menerusi pembedahan Caesarean kecemasan ketika kandungan berusia 32 minggu selepas keadaan mereka dikesan lebih awal semasa penjagaan antenatal.
Menurut HWKKS, keupayaan melaksanakan prosedur kompleks itu di Sabah membolehkan rawatan kecemasan diberikan dengan segera tanpa perlu menerbangkan pesakit ke Semenanjung Malaysia.
Kedua-dua bayi berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih menerima penjagaan rapi khusus secara berterusan daripada pasukan pakar neonatologi HWKKS.

