Siakap Keli
beckham tubuh konsortium beli united
Gambar: FIVE/AFP

Ferdinand Dakwa Beckham Mungkin Tubuh Konsortium Beli Manchester United

Bekas pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mendakwa legenda, David Beckham mungkin menubuhkan konsortium bagi membeli kelab itu, lapor Manchester Evening News.

Ferdinand menerusi rancangan bual bicara FIVE berkata, ura-ura Beckham mahu membeli United tidak diragui jika melihat kepada kemampuan kewangan pemain legenda itu.

“Dia (Beckham) akan tubuhkan konsortium. Saya ternampak dia malam semalam semasa perlawanan England menentang USA. Saya menonton perlawanan England dan kami duduk bersama-sama.

“Dia memiliki berjuta-juta dolar macam biasa yang orang nampak (dia kaya). Baginya jumlah besar 10 bilion USD (kadar yang dikatakan nilai sebenar pembelian United) itu bukanlah angka yang membebankan,” katanya.

Ferdinand menambah, Beckham yang dia kenali dipercayai mempunyai kemampuan dari sudut kewangan, apatah lagi kini sosok itu merupakan salah seorang pemilik sebuah kelab bola sepak di US.

“Tapi bila kamu sebut tentang seseorang seperti Beckham, dia salah seorang daripada pemilik kelab Inter Miami dan dia tidak berseorangan.

“Itu bukan duitnya semata. Dia datang dengan konsortium. Dia datang dengan mereka yang ada duit banyak  yang mampu untuk membelinya. Jadi itulah jalan yang dia akan pilih (untuk beli United),” katanya.

Beberapa bekas pemain United lain berpotensi jadi pemilik bersama

Mengulas lanjut, Ferdinand turut mendedahkan beliau tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa bekas pemain United yang berpotensi bakal terlibat sama dalam pemilikan kelab itu.

Apatah lagi situasi sama turut berlaku apabila beberapa pemain lama sesuatu kelab itu kini ‘kembali’ memegang tugas penting di peringkat pengurusan.

“Ya. Saya rasa apabila kamu melihat tentangnya, United sudah lama cemerlang dalam satu tempoh cukup panjang menerusi ‘jasa’ pemain-pemain lama yang memahami tradisi, sejarah, kejayaan dan segalanya.

“Ajax dengan Edwin van der Sar, Bayern ada Rummenigge, Real Madrid, Barcelona..semuanya ada perkara sama. Semua kelab itu pernah memiliki pemain hebat dan tiba satu masa, mereka kembali berkhidmat di kelab berkenaan kerana memahaminya (akan peranan memimpin kelab).

“Dan mereka juga ada rakan kenalan usahawan di sekelilingnya yang boleh mengawal elemen bisnes kelab itu,” tambahnya.

Sebelum ini, media-media antarabangsa mendedahkan bahawa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bakal dijual secara rasmi kepada pemilikan baharu.

Untuk rekod, United yang pernah menjuarai EPL sebanyak 13 kali itu dimiliki oleh pemilik terdahulu, keluarga Glazers selama 17 tahun.

Sumber: Manchester Evening Post

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.