Keadaan Nad Zainal Semakin Baik, Kadar Kebergantungan Mesin Oksigen Berkurangan
“Alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas ehsan dan rahmat-Nya keadaan Nad semakin baik berbanding semalam,” demikian kata-kata Pengarah Sharulezad Mohameddin memaklumkan mengenai keadaan Pelakon Nad Zainal yang menunjukkan peningkatan pada hari ini.
Sharulezad Mohameddin atau lebih mesra dikenali sebagai Budak Ijat berkata disebabkan keadaan Nad Zainal yang sedang memulih, kadang kala pelakon itu tersedar membuka mata namun dia sambung tidur semula.
“Kadar kebergantungan dia pada mesin oksigen semakin berkurangan. Luka-luka di paru-parunya semakin heal. Paru paru dah mula berfungsi dengan lebih bagus. Cuma doktor tak mahu memaksa sangat,” katanya menerusi laman Instagram miliknya hari Ahad.
Jelasnya, sebahagian ubat-ubatan juga ada yang telah mula dikurangkan dos dan ada juga yang telah diberhentikan pemberiaannya apabila keadaan pelakon itu semakin stabil.
“Syukur tak terhingga. Terima kasih Allah yang telah mengabulkan doa kita semua. Saya harap kita akan terus berdoa. Selain dari untuk Nad sendiri kita juga perlu doakan untuk mereka yang lain yang memerlukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Budak Ijat turut mengambil peluang ini untuk berterima kasih atas doa yang telah dikirim oleh pembaca dan peminat kepada Nad semasa dia berada dalam keadaan koma.
“Saya mewakili keluarga dan sahabat Nad dengan rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas doa-doa tulus kalian. Hanya Allah saja yang mampu membalas doa ikhlas kalian,” tambahnya.
Sebelum ini, media melaporkan Nad berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan.
Difahamkan, Nad dimasukkan ke hospital adalah kerana mengalami masalah jangkitan kuman pada paru-paru.
Sumber: Budakijat via Instagram