Sekumpulan orang awam dipercayai penyokong bola sepak Belgium membuat rusuhan di ibu negara, Brussels selepas negara itu tewas 0-2 kepada Morocco dalam saingan Piala Dunia malam tadi, lapor New York Times.
Difahamkan laporan media tempatan memaklumkan perusuh bertindak mengamuk dengan membakar kereta dan skuter, selain turut membaling batu ke arah kenderaan di lokasi kejadian.
Jurucakap polis Brussels, Ilse Van de Keere memberitahu pemberita bahawa seorang individu tercedera akibat rusuhan itu setakat ini.
Bagaimanapun katanya, sama ada rusuhan tersebut berkait dengan kekalahan negara mereka (dalam Piala Dunia) atau tidak, ia belum dikenal pasti lagi buat masa ini.
Difahamkan pihak polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata menggunakan trak polis anti-rusuhan (FRU) kepada kumpulan perusuh berkenaan bagi meleraikan mereka.
Bagaimanapun jumlah perusuh yang ditahan tidak dapat dikenal pasti.
Rakaman kejadian tersebut turut dirakam orang awam di sana dan tular di media sosial.
Dalam pada itu Datuk Bandar Brussels, Philippe Close berkata, beliau dengan tegas menyelar kejadian rusuhan tersebut dan turut menasihati para penyokong bola sepak agar meninggalkan bandar berkenaan.
“Pihak polis sudah melakukan segala tindakan untuk mengawal keadaan,” katanya dalam kenyataan di Twitter.
Sementara itu turut berlaku rusuhan hampir serupa di beberapa lokasi di Belanda seperti Rotterdam dan ibu negara, Amsterdam.
The center of Brussels is on fire after the match. 🇲🇦🇧🇪 pic.twitter.com/D0zznXZ00d
— Yassin Akouh (@Yassin_Akouh) November 27, 2022
Rakaman tular di media sosial memaparkan situasi berkecamuk oleh kumpulan perusuh yang bertindak membakar kenderaan di satu lokasi di pusat bandar, selain membaling batu dan kaca ke arah polis.
Difahamkan pasukan polis anti-rusuhan (FRU) terpaksa dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menghentikan kemaraan kira-kira 500 perusuh yang dipercayai daripada kalangan penyokong bola sepak.
Imbas kembali perlawanan malam tadi, Belgium tumpas 0-2 kepada Morocco selepas gawang golnya dirobek Romain Saiss pada minit ke-73 dan Zakaria Aboukhlal pada masa kecederaan.
Untuk rekod, Belgium yang berada dalam Kumpulan F kini menduduki tempat ketiga di bawah Croatia dan Morocco, diikuti Kanada di tempat keempat.
Belgium hanya mengumpulkan tiga mata dalam dua perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang pendahulu Croatia dan Morocco yang masing-masing berkongsi empat mata.
Negara itu bakal berdepan dengan Croatia pada saingan peringkat kumpulan seterusnya pada Khamis, 1 Disember ini.
Sumber: New York Times