Fenway Sports Group (FSG) didakwa telah membuka rundingan dengan dua konsortium dari Timur Tengah mengenai penjualan Liverpool yang dianggarkan bernilai melebihi £3 bilion (RM16.20 bilion).
Wakil FSG sebelum mengejutkan para peminat apabila secara terbuka mendedahkan bahawa mereka tidak menolak kemungkinan untuk menjual kelab gergasi Liga Perdana Inggeris dalam satu wawancara yang diadakan pada awal bulan ini.
Susulan laporan tersebut, dipercayai konsortium berasal dari Arab Saudi dan Qatar telah menyatakan minat masing-masing untuk membeli kelab tersebut.
Walau bagaimanapun, segelintir peminat Liverpool menzahirkan kerisauan sekiranya pemilik seterusnya berasal dari Timur Tengah, ada kemungkinan ia akan melibatkan campur tangan daripada kerajaan di rantau tersebut.

Menurut laporan Daily Mail, kedua-dua konsortium tersebut telah menghubungi pengarah FSG, Mike Gordon, yang juga merupakan salah satu pengarah Liverpool bagi menyatakan hasrat masing-masing.
Gordon merupakan pihak yang bertanggungjawab untuk menyelia penjualan kelab tersebut mewakili pemilik utama, John W Henry.
Setakat ini, dalam laporan awal, kedua-dua konsortium berkenaan melibatkan syarikat swasta, bagaimanapun pemerhati berkata masih terlalu awal untuk berkata bahawa tiada campur tangan kerajaan dalam konsortium tersebut.
Ia susulan laporan yang menyatakan individu-individu penting dalam konsortium tersebut mempunyai hubungan rapat dengan pemerintah negara masing-masing.
Sokongan pengambil alihan kelab EPL.
Malah, Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal sebulum ini mengakui pihaknya akan menyokong mana-mana usaha yang dibuat oleh syarikat dari negara itu yang mahu membida Liverpool serta pasukan seterunya, Manchester Unnited.

Media sebelum ini melaporkan Keluarga Glazer juga terbuka untuk menjual Manchester United.
“Daripada kaca mata sektor swasta, saya tidak boleh bercakap mewakili mereka. Namun terdapat minat yang sangat mendalam terhadap bola sepak. Ia (EPL) adalah liga yang paling banyak ditonton dan dirantau ini, terdapat begitu ramai peminat EPL.
“Kami akan memberi sokongan jika ada sektor swasta dari Arab Saudi yang ingin terlibat membeli kelab-kelab tersebut kerana kami maklum keputusan ini juga akan memberikan impak positif terhadap pembangunan sukan Arab Saudi.
”Jika ada pelabur yang bersedia berbuat demikian dan jumlahnya bertambah, mengapa katakan tidak?”, katanya.

Secara umumnya, ia masih tidak jelas bagaimana Arab Saudi atau Qatar akan memberi sokongan terhadap konsortium-konsortium swasta ini.
Kedua-dua Liverpool dan United telah menarik perhatian daripada pelbagai pihak. FSG juga dikatakan sedang mengadakan rundingan bersama pembeli dari Amerika Syarikat.
Manakala, lelaki terkaya di Britain, Sir Jim Ratcliffe yang juga merupakan pemilik kelab Ligue 1, Nice menyatakan minat untuk memiliki Red Devils.
Forbes menganggarkan Liverpool bernilai sebanyak $4.45 bilion (RMM20.05 bilion) dan United pula pada nilai $4.6 bilion (RM20.73 bilion).
FSG dijangka akan membuat keuntungan yang besar terhadap Reds selepas membeli kelab tersebut daripada Tom Hicks dan George Gillett pada £300 million (RMM 1.62 bilion) pada 12 tahun lepas, manakala Glazers telah mengambil alih United sepenuhnya pada 2005.
Sumber: The Mirror