Ratusan Syarikat Di UK Daftar Untuk Bekerja 4 Hari Seminggu
Kira-kira 100 syarikat di United Kingdom (UK) telah mendaftar untuk polisi bekerja selama empat hari seminggu untuk kesemua pekerja tanpa pemotongan gaji, lapor NDTV.
Syarikat-syarikat tersebut mempunyai sekitar 2,600 orang kakitangan dan berharap agar Kempen 4 Hari Seminggu dapat membawa perubahan transformatif dalam negara.
Dalam masa sama penyokong-penyokong Kempen 4 Hari Seminggu berpendapat bahawa bekerja lima hari seminggu merupakan corak pekerjaan yang lama.
Menurut The Guardian, mereka sebaliknya berpendapat bahawa bekerja empat hari seminggu akan mendorong syarikat untuk meningkatkan produktiviti mereka dan menyelesaikan kerja yang sama dalam masa yang lebih singkat.
Selain itu, penerima awal dasar itu juga mendapati ia adalah cara terbaik untuk menarik dan mengekalkan pekerja.
Daripada 100 buah syarikat, dua syarikat terbesar di UK didapati telah mendaftar untuk bekerja selama empat hari iaitu Atom Bank dan syarikat pemasaran global Awin, masing-masing mempunyai kira-kira 450 pekerja.
Kedua-dua syarikat itu dilaporkan telah diakreditasi oleh Kempen 4 Hari Seminggu, bermakna mereka telah membuktikan bahawa mereka benar-benar telah mengurangkan waktu bekerja untuk kakitangan.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif Awin, Adam Ross berkata kepada The Guardian bahawa beralih kepada corak kerja baharu adalah salah satu inisiatif paling transformatif yang pernah mereka lihat dalam sejarah kempen itu.
“Sepanjang satu tahun setengah lepas, kami bukan sahaja melihat peningkatan yang luar biasa dalam kesejahteraan pekerja tetapi pada masa yang sama, perkhidmatan pelanggan dan hubungan kami juga telah mendapat manfaatnya,” kata Adam kepada The Guardian.
Kempen 4 Hari Seminggu menjalankan usaha terbesar di dunia bagi sekitar 70 syarikat yang menggaji sebanyak 3,300 pekerja.
Difahamkan ia adalah daripada penyelidikan yang dijalankan di Universiti Cambridge dan Oxford serta Universiti Boston dan badan pemikir Autonomy.
Pada September lepas, 88 peratus daripada syarikat tersebut merekodkan bahawa bekerja empat hari dalam seminggu adalah ‘baik’ untuk perniagaan mereka.
Manakala 95 peratus lagi berkata tentang produktiviti sama ada kekal sama atau bertambah baik sejak ia diperkenalkan.
Kebanyakan syarikat yang secara rasmi menerima pakai corak waktu bekerja yang baharu adalah dalam sektor perkhidmatan seperti teknologi, syarikat pemasaran dan sebagainya.
Namun begitu, kempen tersebut juga menyatakan bahawa beberapa majikan daripada sektor pembuatan dan pembinaan juga turut mendaftar untuk bekerja empat hari seminggu.
Sumber: NDTV