Siakap Keli
Tiga Maut Lima Cedera Nahas Dua Kenderaan
Gambar: Bernama

Tiga Maut, Lima Cedera Nahas Dua Kenderaan

Tiga Maut, Lima Cedera Nahas Dua Kenderaan

KLUANG, 28 Nov (Bernama) — Tiga maut manakala lima cedera dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah van di Kilometer 15, Jalan Kluang – Teck Wah Hing di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata dua yang meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira pukul 4 petang itu terdiri daripada pemandu kereta Muhammad Haziq Haiqal Mohd Faizal, 20, dan penumpang Muhammad Khairil Rosli, 17.

Beliau berkata seorang lagi penumpang di tempat duduk hadapan kereta Ariffudin Khairum Ab Ghafar, 21, pula meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

“Lima lagi yang cedera terdiri daripada seorang lagi penumpang di tempat duduk belakang kereta itu, dan empat sekeluarga yang menaiki van, semuanya kini masih di hospital yang sama untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya berdasarkan siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Kluang hilang kawalan, sebelum masuk laluan bertentangan dan bertembung dengan van.

Bahrin berkata semua penumpang kereta berkenaan bekerja sebagai tukang gunting rambut di Kluang, manakala penumpang van pula terdiri daripada pasangan suami isteri masing-masing berusia 43 dan 42 tahun serta dua anak mereka yang berumur 15 dan 11 tahun.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih dalam kenyataan berasingan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.29 petang.

Beliau berkata lapan anggota BBP Renggam bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan dan operasi ditamatkan pada pukul 5.14 petang.

Sumber: BERNAMA

Muhd Iqbal