Siakap Keli
china piala dunia
Gambar: AFP

Demi Polisi Sifar Covid, China Potong “Live” Tayang Penonton Bola Sepak Tak Pakai Pelitup Muka Di Piala Dunia

Kerajaan China Tapis Adegan Penonton Bola Sepak Tanpa Pelitup Muka Di Piala Dunia

Stesen tv China dilapor telah memotong rakaman siaran langsung yang memaparkan peminat bola sepak Piala Dunia 2022 tidak memakai pelitup muka di dalam stadium. Tindakan itu didakwa bagi mengelakkan warga tempatan marah dan mencetuskan protes berhubung sekatan ketat Sifar Covid-19 yang dilaksanakan di negara itu, lapor akhbar South China Morning Post.

China merupakan satu-satunya ekonomi besar dunia yang masih melaksanakan perintah kawalan ketat, seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka, ujian saringan secara paksa dan kuarantin bagi mengekang wabak Covid-10 sepenuhnya.

Semasa siaran langsung perlawanan pada hari Ahad antara Jepun dan Costa Rica, Saluran CCTV Sports milik kerajaan menggantikan rakaman yang menunjukkan peminat tanpa pelitup muka dengan imej pemain, pegawai atau stadium bola sepak.

Difahamkan, rakaman yang menunjukkan penonton tanpa pelitup muka langsung tidak ditayangkan sepanjang siaran langsung tersebut.

Tindakan tersebut nyata mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tempatan dan menjadikan media sosial bagi melepas kemarahan masing-masing.

“Piala Dunia membolehkan kebanyakan rakyat China melihat keadaan sebenar di luar negara serta bimbang tentang ekonomi tanah air dan belia mereka sendiri,” katanya dalam satu luahan di Weibo.

Berhubung dengan perkara itu beratus-ratus orang di beberapa bandar seperti Beijing dan Shanghai telah melakukan protes besar-besaran pada hari Ahad untuk membantah dasar sifar Covid-19 yang dilakukan oleh negara tersebut.

Sumber: South China Morning Post

Shafikah