Siakap Keli
Gambar: Guardia Di Finanza Asti

Padah Ubah Suai Toyota MR Coupé Jadi Ferrari F430, Lelaki Bakal Dipenjara

Baru-baru ini, seorang lelaki warga Itali berusia 26 tahun didakwa atas tuduhan pemalsuan dan tanda dagangan selepas didapati bahawa Ferrari F430 merah miliknya sebenarnya adalah Toyota MR Coupé yang diubah suai.

Pasukan penguatkuasa Itali, Guardia di Finanza merampas kenderaan tersebut semasa membuat pemeriksaan rutin di bandar Asti, Itali, lapor Oddity Central.

Meskipun Ferrari merah itu menampilkan kesemua elemen ikonik F430, daripada logo kuda berlari pada bahagian bonet dan stereng kepada rim, brek dan lampu depan, tetapi ada sesuatu tentang kenderaan tersebut yang kelihatan pelik.

Gambar: Guardia di Finanza Asti

Pemilik kenderaan itu juga tidak mempunyai dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa keretanya itu adalah Ferrari F430 asli atau tidak.

Kemudian, pihak polis memanggil pasukan pakar untuk mendapatkan kepastian. Hasilnya, mereka mengesahkan bahawa kereta itu sebenarnya adalah Toyota MR Coupé yang telah diubah suai.

Walaupun ini pastinya bukan kali pertama kejadian mengubah suai kenderaan menjadi supercar eksklusif, namun apa yang menjadikan kes ini istimewa adalah tahap pemalsuan yang tinggi.

Memetik Oddity Central, daripada bingkai karbon ringkas di atas casis biasa dan beberapa logo palsu, individu yang membuat F430 ‘jadian’ ini melakukan kerja dengan sangat teliti.

Kedua-dua bahagian luar dan dalam kereta tersebut diubah suai seperti model Ferrari F430 seperti yang pernah dihasilkan antara 2004 dan 2009 di Maranello.

Menurut pakar yang mengesahkan pemalsuan itu, kereta berkenaan juga menampilkan alat ganti dan aksesori Ferrari asli, menjadikanya lebih sukar untuk menyedari bahawa ia sebenarnya adalah model Toyota.

Dalam pada itu, media berita di Itali melaporkan bahawa kereta berkenaan disita dan pemiliknya dilaporakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Asti kerana tanda dagangan berdaftar tanpa kebenaran.

Sumber: Oddity Central

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.