Siakap Keli
Kredit The Thaiger

Tiga Lelaki Ditahan Curi Talian Internet Untuk Judi Piala Dunia

Tiga lelaki ditahan kerana curi talian internet untuk jalankan judi Piala Dunia

Dua lelaki Thailand dan seorang lelaki Kemboja ditahan  selepas disyaki menggunakan sambungan Internet negara Thailand bagi menyiarkan Piala Dunia Qatar 2022 sambil menjalankan sindiket pertaruhan bola sepak, lapor The Thaiger.

Di bawah latihan Polis Diraja Thai (RTP) untuk menghalang operasi sindiket perjudian bola sepak semasa Piala Dunia, pegawai di seluruh Thailand berjaya menemui penjenayah ketika mereka menggunakan pautan haram bagi perlawanan itu.

Lokasi penemuan pautan haram itu terletak berhampiran dengan daerah Aranyaprathate di wilayah Isaan, Sa Kaeo. Kawasan ini berada berhampiran bandar sempadan Thai-Kemboja Poipet, di mana terletaknya banyak rumah perjudian beroperasi.

Semasa siasatan dijalankan, polis mendapati sambungan Internet Thai di Poipet digunakan untuk menyiarkan perlawanan Piala Dunia di sebuah laman web pertaruhan bola sepak.

Selepas dimaklumkan oleh RTP, polis Kemboja telah menjalankan siasatan lanjut dan menyerbu sebuah bangunan di bandar Poipet di mana mereka kemudiannya menemui tiga suspek sedang menguruskan laman web perjudiaan tersebut.

Segala peralatan bagi pemancaran internet telah dirampas dari bangunan tersebut sebagai sebahagian daripada bahan bukti.

Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mencuri sambungan Internet dari Thailand ke negara itu tanpa kebenaran mengikut undang-undang negara Kemboja.

Kesemua suspek akan dijatuhkan hukuman dan dihukum di Kemboja. Hukuman bagi kesalahan pertuduhan itu masih belum dilaporkan.

Sebelum ini, FIFA telah memberi amaran kepada Thailand bahawa terdapat isu keselamatan isyarat penyiaran bagi perlawanan Piala Dunia Qatar 2022.

Namun setakat ini pihak berkuasa Thai tidak melaporkan sama ada kecurian sambungan Internet itu berkaitan dengan amaran daripada FIFA.

Selain itu, siasatan lanjut berkenaan kes itu masih diteruskan.

Sumber: The Thaiger

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka