Siakap Keli
kelantan fc mahu jurulatih korea selatan
Gambar: Zamsaham via Facebook

Zamsaham Mahu Sunting Jurulatih Dari Korea Selatan Kemudi Kelantan FC

Pemilik Kelantan Football Club (FC), Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menyatakan hasratnya untuk menyunting jurulatih dari Korea Selatan bagi memimpin The Red Wariors (TRW) Liga Super musim depan.

Difahamkan, pasukan itu masih mencari jurulatih  selepas memutuskan tidak mengekalkan Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali TRW.

Sebelum ini, media melaporkan Zamsaham telah menyatakan hasratnya untuk mendapatkan bekas ketua jurulatih PJ City FC P Maniam dan juga sudah berbincang mengenai kedudukannya tetapi keputusan konkrit masih belum dibuat.

“Berkenaan HC P Maniam, seperti saya beritahu semua masih dalam perbincangan. Bila dah rasmi saya akan umumkan. Kita masih buat pilihan,” katanya.

Terbaru, Zamsaham telah menyatakan rasa minat untuk mengambil ketua jurulatih dari Korea Selatan dalam satu kenyataan di laman Facebook pada hari Selasa.

Hantaran itu telah mendapat perhatian ramai dan rata-rata peminat TRW bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan olehnya.

“Kalau ketua jurulatih Korea okay? Minta pandangan ikhlas tuan-tuan sekalian,” ujar hantaran yang dibuat Zamsaham.

Tidak dinafikan, kepimpinan jurulatih dari Korea Selatan sering menjadi pilihan seperti Kim Eun-jung, Kim Pan Gon dan Kim Hak Bum yang berjaya menunjukkan kehebatan mereka dalam mengemudi sesebuah pasukan.

Ramai yang menyatakan pendapat mereka mengenai pemilihan jurulatih kerana mahukan yang terbaik untuk TRW pada saingan musim depan.

Bagi peminat, negara kelahiran jurulatih itu tidak penting namun Norizam perlu menitikberatkan faktor latar belakang dan pencapaian dalam memilih seseorang untuk memimpin pasukan TRW.

“Bukan masalah negara kelahiran jurulatih, tapi latar belakang dan pencapaian itu yang paling penting. Buat apa ada HC dari Jerman sekalipun tetapi hatta dinegaranya sendiri dia tidak ada sebarang penghasilan/pencapaian yang boleh dibuktikan,” kata Mohd Khairul Hashim.

“Coach Korea okay Bos Zam. Mereka selalu mengamalkan corak berintensiti tinggi dalam setiap pemainan. Mereka juga mempunyai disiplin yang tinggi lagi-lagi dalam bab pengurusan masa,” tambah Hazman Roslan.

Sumber: Zamsham via Facebook

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana