Siakap Keli

AKPK Lancar Aplikasi Diagnostik Kewangan Dan Perakaunan

Kuala Lumpur, 1 Disember 2022 – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah melancarkan aplikasi diagnostik perakaunan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang dinamakan MyBijakNiaga. 

Majlis pelancarannya diadakan di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani binti Dato’ Ahmad. 

MyBijakNiaga merupakan aplikasi diagnostik perakaunan digital yang boleh digunakan oleh peniaga mikro dan kecil untuk merekodkan transaksi perniagaan dan menyediakan penyata kewangan masing-masing. Ia juga berupaya untuk menyimpan dokumen sokongan untuk rujukan masa hadapan kerana dokumen ini penting untuk pengembangan perniagaan atau mendapatkan pembiayaan. Selain itu, pengguna boleh melakukan ‘pemeriksaan kesihatan’ ke atas prestasi kewangan perniagaan mereka dan mendapatkan nasihat mengenai kedudukan perniagaan semasa mereka—semuanya daripada satu aplikasi mudah pada bila-bila masa dan di mana sahaja. 

Dato’ Suriani, dalam ucapan perasmiannya, memuji usaha AKPK dalam membangunkan satu aplikasi praktikal yang bukan saja membantu usahawan PMKS menguruskan kewangan perniagaan dan mengembangkan keuntungan, malah turut menyediakan saluran untuk meningkatkan ilmu pengurusan kewangan perniagaan tanpa batasan waktu dan tempat.

Disediakan oleh: Jabatan Komunikasi Korporat, AKPK

Dato’ Suriani berkata, “Keusahawanan kini bergerak pantas menuju pendigitalan. Namun, asas kejayaan dalam keusahawanan masih sama, iaitu seperti menyimpan rekod perniagaan secara tersusun dan menhasilkan penyata kewangan. 

Adalah amat penting bagi perniagaan mikro dan kecil untuk mengamalkan amalan keusahawanan yang terbaik, pendigitalan perniagaan dan pembangunan ilmu pengetahuan, lebih-lebih lagi dalam pengurusan kewangan. Dan, MyBijakNiaga menjadikan semua itu tersedia untuk pemilik perniagaan.” 

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, menekankan bahawa literasi kewangan ialah satu langkah maju ke hadapan bagi perniagaan mikro dan kecil. 

Di samping sektor isi rumah, pada tahun 2020, mandat AKPK turut diperluaskan merangkumi PMKS. Hari ini, AKPK ialah sebahagian daripada ekosistem di negara ini yang meningkatkan kesejahteraan kewangan isi rumah dan perniagaan. Sebagai mandat baharu AKPK dan kepentingannya dalam ekonomi, AKPK giat merangka strategi untuk mempertingkatkan daya tahan dan prestasi kewangan PMKS. 

Azzadin menerangkan, “Selain daripada bantuan bayaran balik, khidmat nasihat kewangan dan modul pembelajaran untuk PMKS, kami ingin memberikan sesuatu yang berguna dan praktikal untuk pemilik perniagaan mikro dan kecil gunakan setiap hari dalam memperkasakan pengurusan perniagaan mereka. Dan, idea itu kini telah diterjemahkan kepada aplikasi MyBijakNiaga. 

Aplikasi perakaunan perniagaan digital ini akan memberikan kemudahan, keyakinan dan ketenangan fikiran kepada beribu-ribu usahawan PMKS ketika mereka merekodkan transaksi perniagaan, mempelajari pentadbiran pengurusan kewangan, menguruskan data kewangan dan menilai prestasi perniagaan, termasuk ketika mereka berupaya meramalkan perniagaan mereka untuk tiga tahun akan datang.”

MyBijakNiaga menawarkan alternatif kepada perisian perakaunan sedia ada yang boleh menjadi mahal dan kompleks. Sebaliknya, MyBijakNiaga boleh diakses secara percuma dan mudah digunakan dengan penerangan yang jelas dalam Bahasa Melayu. Walaupun ringkas, MyBijakNiaga ialah satu platform yang selamat dengan prosedur pendaftaran yang terjamin, dan yang paling penting, ia berteraskan hasil yang ingin dicapai. Secara tidak langsung, ia membantu usahawan mikro dan kecil meningkatkan literasi kewangan, kawalan kewangan dan ilmu perniagaan mereka sepanjang penggunaan MyBijakNiaga. 

Sehingga hari ini, hampir 2,000 PMKS telah berdaftar dengan AKPK untuk penggunaan MyBijakNiaga dan maklum balas yang diterima oleh pengguna adalah amat positif dan memberangsangkan. 

Peluang sentiasa ada, namun ia memerlukan keberanian, inisiatif dan komitmen kepada cara baharu bagi mengurus kewangan perniagaan agar dapat membangunkan perusahaan yang kukuh. Untuk akses percuma ke MyBijakNiaga, daftar melalui pautan ini: https://mybijakniaga.akpk.org.my

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa