Siakap Keli
Doktor Palsu Ditahan
Gambar: DuvarEnglish/Twitter

Tiada Kelayakan Perubatan, Doktor Pakar Kanak-kanak Palsu Ditahan

Seorang wanita di Turkiye yang ‘bertugas’ sebagai doktor ditahan polis selepas hasil siasatan mendapati dia sebenarnya tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam bidang perubatan, lapor Daily Star.

Menurut laporan, doktor palsu tersebut sudah berkhidmat selama lebih setahun sebagai pakar kanak-kanak di sebuah hospital di wilayah Çerkezköy yang terletak kira-kira 68 batu dari Istanbul.

Bagaimanapun identitinya sebagai ‘doktor’ mula diragui oleh rakan sekerja apabila mereka berasa curiga akan kekurangan pengetahuannya dalam bidang perubatan sebelum mula bertanya tentang latar belakangnya.

Difahamkan ‘doktor’ muda berusia 20 tahun terbabit mendakwa dia telah menamatkan pengajian di Istanbul University’s Çapa Medical School sebelum itu.

Namun begitu, jawapannya tidak mampu memuaskan hati kakitangan hospital tersebut lantas mereka memutuskan untuk bertanya kepadanya tentang prosedur perubatan standard (dengan lebih mendalam).

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila dia kerap memberikan jawapan yang bercanggah daripada yang sepatutunya.

Doktor Palsu Ditahan
Gambar: Daily Star

Disebabkan mula menyedari ‘doktor’ muda itu menipu, kakitangan hospital yang lain terus membunyikan loceng penggera keselamatan sebagai tindakan pantas.

Tanpa berlengah, pentadbir hospital menghubungi pihak polis dan terus menggeledah rumahnya.

Di rumah suspek, mereka menemui beberapa kad pengenalan universiti, kad pengenalan doktor dan diploma yang dipercayai telah dipalsukan.

Dalam masa sama kad pengenalan dari beberapa hospital dan koleksi pakaian pembedahan yang digunakannya turut dirampas.

Mengaku langsung tiada pendidikan perubatan

Menurut Daily Star, suspek terbabit akhirnya mengaku bahawa dia langsung tidak mempunyai pendidikan melebihi tahap sekolah menengah.

Bukan sahaja pihak hospiral, malah suspek turut berbohong kepada ahli keluarganya dengan menyatakan bahawa dia telah lulus daripada Çapa Medical School.

Dalam satu kenyataan, dia berkata, “Ketika saya bergelar pelajar di sekolah menengah, keluarga mahukan saya pergi ke sekolah perubatan. Mereka percaya kepada saya dan berfikir bahawa saya akan mendapat markah yang tinggi.

“Apabila saya lulus dari sekolah menengah, saya mengambil peperiksaan untuk masuk universiti. Malangnya, saya tidak berjaya.

“Namun, untuk tidak menggoyahkan kepercayaan keluarga, saya memberitahu keluarga bahawa saya berjaya menempatkan diri di Fakulti Perubatan Capa. Saya sudah sediakan dokumen dan tunjukkan kepada keluarga saya,” katanya.

Doktor Palsu Ditahan
Gambar: DuvarEnglish/Twitter

Sementara itu, ibu suspek, Semra Arslan mengatakan bahawa dia pernah menelefon mahupun membuat panggilan video bersama anaknya itu.

Tidak dinafikan bahawa suasana dan persekitarannya menunjukkan suspek sedang berada di hospital, tambahan pula suspek pernah bergambar dengan doktor.

“Adakah ini semua pembohongan? Kami tidak memahami apa-apa!” katanya.

Malah, Arslan turut mengatakan bahawa orang lain yang terlibat dalam penipuan itu juga harus ditangkap.

Hal ini kerana dia percaya bahawa anaknya tidak akan membuat perkara sedemikian seorang diri.

Bagaimanapun, suspek telah ditangkap dan didakwa kerana menentang Undang-undang Amalan Gaya Perubatan dan Sains Perubatan.

Sumber: Daily Star

 

Florence Nuar