“Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan di sekelilingnya.”
Sebut sahaja ‘guru’, pasti ramai terbayangkan susuk seorang pendidik yang sanggup berkorban harta dan tenaga demi anak bangsa yang tercinta. Tak mudah menggalas gelaran mulia itu. Di sebalik keceriaan terukir di wajah setiap kali melangkah ke kelas, terlindung beribu bebanan yang disimpan jauh di sudut hati.
Amanah tetap dijalankan, biarpun kerinduan terhadap keluarga yang jauh di mata semakin sesak menggenggam jiwa. Hanya panggilan video pada setiap malam menjadi peneman dan wadah melepaskan rindu kepada ahli keluarga tercinta.
“Dah bertahun-tahun PJJ, terpaksa tinggalkan anak dengan suami. Dapat jumpa waktu cuti panjang je sebab mengajar kat negeri lain.”
“Kita jaga anak orang, tapi anak-anak sendiri tak dapat jaga.”
“Setiap hujung minggu aku ride lebih 300 km sehala sebab nak balik jumpa anak isteri.”
Mungkin inilah monolog guru-guru yang terpaksa berjauhan dengan keluarga dek tuntutan kerja. Ada yang bertahun bermusafir, berulang-alik dari negeri berbeza untuk memenuhi tanggungjawab antara keluarga dan kerjaya. Tak kurang juga, ada yang sudah lama tidak berjumpa asbab kekangan kerja. Nak mohon untuk pertukaran tempat mengajar pula terpaksa menunggu waktu tertentu portal eGtukar dibuka.
Bagi guru yang berhadapan dengan situasi ini, pasti mereka mengharapkan agar dapat ditukarkan ke daerah atau lokasi yang lebih dekat suatu hari nanti.
Guru boleh mohon pertukaran sepanjang tahun, laksanakan pemindahan lebih kerap
Bagi mengatasi kekangan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu transformasi dengan meningkatkan kekerapan proses pemindahan guru-guru daripada dua kali setahun kepada empat kali setahun.
“Kalau dulu kita hanya laksanakan permohonan pertukaran itu dua kali setahun, tapi dalam kalendar akademik ini kita laksanakan empat kali setahun,” ujar Zainal Abas, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian dalam satu temubual bersama Siakap Keli baru-baru ini.
Tambahnya, guru-guru boleh membuat permohonan sepanjang tahun di eGTUKAR, namun pemindahan hanya akan berlaku sewaktu cuti sekolah.
“Guru boleh mohon sepanjang tahun. Tapi pergerakan ke sekolah baru hanya akan berlaku pada cuti sekolah. Selepas cuti sekolah baru berkhidmat di sekolah baru,” katanya.
Mengulas lanjut berkaitan isu guru atau pentadbir sekolah yang dipindahkan ke sekolah baharu walaupun tidak memohon, beliau berkata pertukaran tempat bertugas bukan terhad kepada sektor pendidikan semata, tetapi juga berlaku kepada mereka yang bekerja dalam bidang lain seperti kesihatan dan ketenteraan. Kepakaran dan kemahiran seseorang guru itu tidak terhad kepada satu-satu sekolah sahaja, justeru kepakaran mereka ini turut diperlukan untuk membantu sekolah-sekolah lain.
“Perkara ini memang terjadi terutama dalam jawatan-jawatan tertentu di pejabat kerajaan, iaitu dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun pegawai akan ditukarkan. Tapi kita ada juga guru-guru yang telah berkhidmat mungkin 10 tahun yang sepatutnya boleh digerakkan ke tempat-tempat lain untuk membantu atau perkasakan sekolah-sekolah lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Semoga transformasi ini dapat memberi sinar baharu buat guru-guru yang telah lama berjauhan dengan keluarga tercinta.