Rasmi: Perikatan Nasional Menang Di Parlimen Padang Serai
Calon dari Perikatan Nasional, Datuk Azman Nasrudin telah memenangi kerusi P017 Parlimen Padang Serai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung hari ini.
Kemenangan berpihak kepadanya dengan jumlah undian sebanyak 51,637 dan majoriti 16,260 undi.
Beliau telah menewaskan lima calon lain iaitu Mohamad Sofee Razak (PH), Sivaraj Chandran (BN), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Hamzah Abd Rahman (Pejuang) dan Ananda AK (Bebas).
Menerusi keputusan yang diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah sebentar tadi, Sofee Razak telah mendapat sebanyak 35,377 undi.
Diikuti oleh Sivaraj dengan 2,983 undi, Ananda dengan 846 undi, Hamzah dengan 424 undi dan Mohd Bakhri dengan 149 undi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember.
Ia berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang disahkan bertanding M. Karupaiya pada 16 November lepas.
Sementara itu, SPR sebentar tadi telah mengumumkan bahawa calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain telah memenangi kerusi Dun Tioman dengan majoriti 573 undi.
PRU Dun Tioman turut diadakan hari ini berikutan kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada 19 November.