Budak 8 Tahun Terjatuh & Terperangkap Dalam Telaga 122 Meter, Operasi Menyelamat Masih Berjalan
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan terjatuh ke dalam telaga sedalam 400 kaki (122 meter) ketika sedang bermain di padang di daerah Betul, Madhya Pradesh pada Selasa lepas, lapor India Tv.
Anggota polis Aathner, Anil Soni berkata bahawa insiden berkenaan berlaku sekitar jam 5 petang di kampung Mandavi.
Kanak-kanak tersebut dikenali sebagai Tanmay Diwayar, dikatakan bermain di padang sebelum dia terjatuh ke dalam telaga yang baru digali baru-baru ini.
Operasi menyelamat telah dimulakan dan jengkaut telah dibawa masuk untuk kerja-kerja menggali kawasan itu.

Bekalan oksigen juga telah diaturkan bagi memastikan kanak-kanak tersebut dapat bertahan sementara operasi menyelamat dilakukan.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
Menurut Soni, Pasukan Tindakan Bencana Negeri (SDRF) yang terlibat dalam operasi yang bermula sekitar jam 2.30 pagi itu adalah dari Bhopal dan Hoshangabad.
“Operasi menyelamat telah dijalankan selepas kami menerima laporan, usaha untuk membawa kanak-kanak itu sedang dilakukan,” kata Majistret Daerah (ADM), Shyamendra Jayaswal.
“Pada jam 2.30 pagi, SDRF, pasukan penyelamat serta polis tiba di tempat kejadian untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, ia mungkin mengambil masa selama dua hingga tiga jam,” katanya lagi.
Beliau juga memaklumkan bahawa kanak-kanak itu mungkin tidak sedarkan diri kerana berada dalam keadaan yang lemah, lapor Hindustan Times.
Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular
Sementara itu, Ketua Menteri, Madhya Pradesh Shivraj Singh Chouhan berkata bahawa dia akan memberi perkembangan mengenai operasi berkenaan dari minit ke minit.
“Insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun terjatuh ke dalam telaga di kampung Mandvi di Betul sangat menyedihkan. Saya mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mengambil langkah-langkah yang perlu. Saya berdoa agar operasi tersebut berjalan dengan lancar,” kata Ketua Menteri dalam satu ciapan di Twitter.
Sumber: India Tv, Hindustan Times