Siakap Keli
Serangan Siber Hospital India
Gambar: Shutterstock

Hospital Lumpuh Diserang Serangan Siber, Sistem Digodam & Data Hilang

Sebuah hospital terkemuka di India, The All India Institute of Medical Sciences diserang oleh serangan siber hingga menyebabkan operasinya lumpuh selama hampir dua minggu.

Difahamkan sistem atas talian hospital tersebut dilaporkan digodam oleh penggodam yang tidak diketahui, selain data-data pesakit juga turut hilang.

Dalam masa sama kakitangan perubatan tidak dapat mengakses laporan pesakit kerana makmal penyimpanan data dan rekod mereka telah digodam dan rosak.

Menurut laporan AFP menerusi Security Week, ada pesakit yang mengadu dirinya gagal mendapatkan rawatan segera ekoran masalah sistem yang rosak.

“Seluruh sistem tidak berfungsi kerana digodam. Saya telah menunggu giliran selama lima hari dan masih belum jumpa doktor,” kata seorang pesakit, Deep Ranjan.

Seorang lagi individu mendakwa dia tidak boleh membuat janji temu rawatan untuk ayahnya yang sakit gara-gara kegagalan sistem berkenaan yang tidak dapat diakses.

Malah lebih malang, doktor juga mengakui tidak mampu buat apa-apa apabila melihat pesakit kerana tidak boleh mengakses sistem untuk melihat rekod sejarah perubatan mereka.

“Kami sedang mendigitalkan (segala-galanya) tetapi kemudian ada serangan ke atas institusi perubatan paling penting di negara ini,” kata seorang doktor, memetik laporan.

Sistem berjaya dipulihkan

Sehubungan itu hasil kerjasama pihak hospital bersama pihak berkuasa selama hampir dua minggu, sistem hospital tersebut akhirnya berjaya dipulihkan semula.

Bagaimanapun difahamkan dalang di sebalik serangan siber berkenaan serta motif mereka berbuat demikian dipercayai masih tidak dapat dikenal pasti setakat ini.

Serangan Siber Hospital India
Gambar: The Indian Express

Laporan menjelaskan serangan siber sedemikian bukan sahaja di hospital berkenaan, malah ada juga beberapa percubaan untuk menggodam organisasi penyelidikan perubatan penting negara iaitu Majlis Penyelidikan Perubatan India.

Kejadian itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan tentang kelemahan sistem kesihatan India yang terdedah kepada serangan siber, sementara kerajaan mendesak pihak hospital untuk mendigitalkan semua rekod pesakit.

Menurut AFP, lebih 173,000 hospital telah mendaftar dengan persekutuan untuk mendigitalkan rekod kesihatan pesakit sejak sistem itu dilancarkan pada September 2021.

Namun dalam masa sama penyelidik berasa bimbang apabila berasakan sebahagian pihak hospital mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk memastikan keselamatan digital mereka terjamin.

“Mendigitalkan keseluruhan sistem penjagaan kesihatan tanpa benar-benar melindunginya boleh ‘membunuh’ seluruh hospital tersebut. Ia tiba-tiba berhenti berfungsi,” kata salah seorang penyelidik, Srinivas Kodali.

Terdahulu pada 30 November baru-baru ini, dilaporkan terdapat percubaan berulang untuk menggodam laman web Majlis Perubatan India tetapi akhirnya tidak berjaya.

Sementara itu, ahli Parlimen (Kongres Pembangkang), K.C. Venugopal berkata, “Serangan ke atas hospital itu telah menimbulkan ‘soalan tentang keselamatan siber’ negara,”

Sebelum ini India telah merangka rang undang-undang mencadangkan kawalan data privasi dipertingkatkan pada bulan lalu, namun ia dikritik oleh sesetengah pihak kerana dianggap masih memerlukan masa.

Sumber: AFP via Security Week

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.