Majalah TIME Nobat Presiden Ukraine Sebagai “Person Of The Year” 2022
Majalah TIME telah mengumumkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sebagai “Person of the Year” tahun 2022 atas keberaniannya menentang pencerobohan di Ukraine oleh Rusia.
Anugerah “Person of the Year” ini diberikan kepada orang yang dianggap mempunyai pengaruh paling besar di dunia sepanjang 12 bulan yang lalu.
Selain Zelensky, beberapa orang berpengaruh seperti pemimpin China, Xi Jinping dan Mahkamah Agung US turut tercalon dalam kategori tersebut.
Memetik BBC, editor majalah TIME, Edward Felsenthal, berkata bahawa keputusan itu merupakan ‘yang paling jelas dalam ingatan’.
“Semangat rakyat Ukraine yang ada di seluruh dunia, termasuk mereka yang ‘berjuang di belakang tabir’, termasuk Yevhen Klopotenko, seorang chef yang menyediakan beribu-ribu makanan percuma kepada warga Ukraine dan ahli perubatan Yuliia Payevska yang ditangkap, kemudian dibebaskan selepas tiga bulan dalam tahanan Rusia” kata Edward.
Baca: “Boleh Dapat Pampasan Sehingga..,” Ketahui Hak Lelaki Jika Jadi Mangsa Gangguan Seksual
TIME menyatakan bahawa Zelensky telah memberi inspirasi kepada rakyat Ukraine dan diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana keberaniannya dalam menentang pencerobohan Rusia.
Pakar bedah trauma dan ortopedik British, David Nott, yang pergi ke Ukraine dalam misi kemanusian, adalah salah seorang daripada beberapa individu yang dipaparkan di muka depan majalah berkenaan.
Baca: Paling Murah RM2.08 Juta, Ini Fakta Kereta “Handmade” Mewah Rolls Royce Yang Tular

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc dan individu paling kaya di dunia, Elon Musk dinobatkan sebagai “Person of the Year” 2021.
Selain daripada anugerah “Person of the Year”, TIME juga telah mengumumkan pemenang dalam beberapa kategori, antaranya ialah “Heroes of the Year”, “Entertainer of the Year”, “Athlete of the Year” dan “Icon of the Year”.
Sebelum ini, anugerah ini pernah dimenangi oleh Adolf Hitler, Vladimir Putin, Barack Obama, Donald Trump, Joe Biden dan Kama Harris, Elon Musk dan lain-lain.
Sumber: BBC