Siakap Keli
Kredit Gambar: Bernama

Penjawat Awam Wajar Diberi Bonus Satu Bulan Setengah Gaji – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) — Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan bonus minimum satu bulan setengah gaji kepada penjawat awam menerusi Bajet 2023.

Presiden Ceupacs Datuk Adnan Mat berkata ini kerana kali terakhir penjawat awam menerima bonus satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 adalah pada 2012 dan selepas itu hanya diberikan bantuan khas kewangan.

“Cuepacs yakin Perdana Menteri boleh melihat perkara ini melalui Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula kelak dengan sekurang-kurangnya bonus satu setengah bulan gaji wajar diberikan kepada penjawat awam.

“Perkara ini pernah dilakukan Perdana Menteri (Anwar) ketika menjadi Menteri Kewangan suatu ketika dahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Adnan berkata Cuepacs mencadangkan kerajaan untuk memberikan dua kali Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) khas untuk semua penjawat awam berikutan peningkatan harga barangan yang mencengkam ketika ini.

“KGT khas RM100 tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup dengan belian barangan asas dianggarkan meningkat kepada RM115 berdasarkan kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Kajian dilaksanakan sendiri Cuepacs mendapati kos perbelanjaan bagi pembelian barangan asas meningkat RM140 sebulan,” katanya.

Justeru beliau berkata pemberian dua kali KGT khas itu boleh membantu penjawat awam untuk menikmati kualiti hidup lebih baik pada masa hadapan.

Adnan turut berharap kerajaan memperkenalkan sistem saraan baharu untuk perkhidmatan awam melalui Bajet 2023 dengan penetapan gaji minimum bermula RM1,800 sebulan.

Menurutnya, sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini adalah berdasarkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada 2002 yang hanya ditambah baik apabila Sistem Saraan Baharu Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diperkenalkan pada 2012 telah dibatalkan.

“Sepatutnya kerajaan memperkenalkan sistem saraan baharu setiap 10 tahun bagi memastikan ia sesuai digunakan mengikut persekitaran ekonomi semasa negara. Adalah tidak relevan untuk perkhidmatan awam menggunakan sistem saraan yang hanya ditambah baik sahaja serta telah berusia lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau berkata sistem saraan baharu itu juga sesuai dengan sasaran kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-10 untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025.

Isnin lepas, Anwar berkata Bajet 2023 akan diteliti semula dan diubah suai dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Kewangan (MOF) serta Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu malah beliau memberi ruang kepada MOF serta jemaah menteri bagi menambah baik Bajet 2023 sedia ada.

Sumber: Bernama

BACA JUGA: Patutlah “Crush” Asyik Pekup Hidung Setiap Kali Sembang, Rupanya Dia Nak Elak Benda Ni

Farah Nabilah