Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan dirinya belum dihubungi SPRM.
Baru-baru ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin; bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung dakwaan salah guna dana RM600 bilion semasa pandemik Covid-19.
Hal tersebut kerana sebelum ini, Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan manakala Khairy Jamaluddin menjawat jawatan sebagai Menteri Kesihatan ketika pentadbiran Muhyidin selaku Perdana Menteri ketika itu.
Berhubung itu sekali lagi, Tengku Zafrul bagaimanapun tampil untuk menjelaskan tentang isu tersebut dalam satu kenyataan di laman Facebook serta Twitter miliknya.
Menurutnya, pihak media ada menanyakan berkaitan isu itu sama ada beliau sudah dihubungi oleh SPRM atau belum.
Beliau membalas persoalan tersebut dengan mudah dan berkata tiada apa yang perlu disorokkan.
Malah, beliau turut berjanji untuk memaklumkan perkembangan sekiranya beliau sudah menerima panggilan daripada pihak SPRM.
“Tadi media tanya sama ada saya telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan isu RM600 bilion.
“Jawapan saya mudah. Tiada apa yang nak disorokkan. Setakat ini SPRM belum hubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” kongsinya di Facebook hari ini.
Berada di UAE, tidak hadir mesyuarat Kabinet
Sebelum ini Tengku Zafrul mencetuskan persoalan ramai apabila beliau dilihat tidak menghadiri mesyuarat Kabinet kali pertama yang berlangsung di Putrajaya pada Isnin baru-baru ini.
Teka-teki tidak hadir tersebut bagaimanapun terjawab apabila beliau mendedahkan sebenarnya dirinya menghadiri majlis kerjasama perdagangan Petronas dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Abu Dhabi kelmarin.
Maklum beliau dalam satu kenyataan, hubungan perdagangan antara Malaysia dengan UAE akan menjadi lebih kukuh selepas ini rentetan pemeteraian kerjasama antara Petronas dengan sebuah syarikat minyak di negara teluk tersebut.
“Alhamdulilah, semalam (kelmarin) saya telah menyaksikan Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd & Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) memeterai perjanjian yang bersejarah bagi Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi kerjasama meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000 km persegi di wilayah Al Dhafra,” katanya.
Sumber: Tengku Zafrul | Facebook