Sifar Kes Jenayah Berat Setakat Ini, Piala Dunia Qatar Dianggap Paling Selamat Dalam Sejarah
Penganjuran Piala Dunia 2022 di Qatar dianggap sebagai paling selamat dalam sejarahnya apabila tiada kes jenayah berat dan besar dilaporkan setakat ini, kata seorang pegawai kanan kerajaan, Brig Abdullah Khalifa al-Muftah pada Rabu lepas.
Menurut Gulf News, Ketua Unit Media bagi Jawatankuasa Operasi Keselamatan Piala Dunia FIFA 2022 yang juga Komander Sektor Media Keselamatan dan Perkongsian Komuniti berkata, data yang diperolehi daripada National Commands Centre (NCC) menunjukkan laporan yang diterima hanyalah melibatkan kes-kes kecil pada jumlah yang sedikit, jika hendak dibandingkan dengan bilangan peminat bola sepak dari seluruh dunia yang berada di negara itu ketika ini.
“Dengan temasya ini berbaki beberapa hari lagi, ia telah membuktikan kejayaan semua pihak dan kerjasama yang ditunjukkan.
“Qatar mendahului dari segi indeks keamanan dan keselamatan antarabangsa, seperti Indeks Keamanan Global, Pengkalan Data Numbeo dan beberapa indikator lain.
“Malah, beberapa insiden kecil yang dilaporkan berjaya dikendali oleh pihak berkuasa keselamatan dengan kecekapan tinggi. Para peminat dapat menikmati kelancaran semasa keluar dan masuk ke dalam stadium serta diberikan bimbingan dan bantuan dalam semua acara.
“Usaha-usaha yang diambil oleh pihak keselamatan perlawanan bola sepak dan Kementerian Dalam Negeri menjadikan Qatar berjaya menganjurkan Piala Dunia FIFA yang paling selamat dan mengikut piawai,” katanya.

Beliau turut memuji usaha tuan rumah menyediakan persekitaran yang selamat kepada semua pihak yang mengambil bahagian, sama ada di stadium, lokasi latihan dan juga kediaman atlet. Malah, para petugas juga mengambil maklum balas yang diberikan dengan baik bagi menjadikan perkhidmatan yang diberikan bertambah cekap.
BACA: Tiada Siulan Nakal & Gangguan, Gadis Ke Piala Dunia Terkejut Qatar Lagi Selamat Dari Negaranya
Sumber: Gulf Times